Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM JADI TUAN RUMAH FESTIVAL AEROANGKASA

AEROFEST 6614

NIBONG TEBAL, 23 November 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tuan rumah dalam penganjuran festival aeroangkasa atau dikenali sebagai AEROFEST yang berlangsung selama dua hari bermula pada 20 hingga 22 November 2015 bertempat di Kampus Kejuruteraan.

AEROFEST 6502

Program anjuran Persatuan Pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa (AEROSOC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa itu mendapat sambutan daripada 150 pelajar jurusan aeroangkasa, aeronautik dan astronautik daripada enam universiti awam (UA) di Malaysia.

Universiti yang terlibat dalam AEROFEST pada kali ini adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIAT), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku tuan rumah.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim berkata matlamat utama program tersebut adalah untuk menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar kejuruteraan aeroangkasa dari seluruh UA di Malaysia.

AEROFEST 6518

“Saya yakin, pelajar dapat berkongsi idea, maklumat dan pengalaman dari universiti masing-masing seterusnya mempratikkan pengetahuan yang diperolehi dari program ini”, katanya yang hadir merasmikan majlis di Pusat Mahasiswa (PUMA), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA), Kampus Kejuruteraan, USM.

Sementara itu, Pengarah Projek, Tan Pheng Chuen berkata festival tersebut telah berjaya mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan iaitu bukan sekadar untuk memperolehi kemenangan semata-mata malah dapat bertemu, bertanding dan memperolehi pengalaman.

“Ini merupakan kali pertama USM menjadi penganjur dan saya sangat teruja sekiranya diberi peluang untuk menganjurkan program seperti ini pada masa hadapan”, katanya ketika ditemui semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah di sini semalam.

AEROFEST 6626

Manakala bagi Ketua Pasukan Roboteam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Farhan Ahmad ketika ditemui berkata, beliau sangat gembira dan berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang bekerjasama sehingga pasukannya mendapat kemenangan dan mengharumkan nama universiti.

“Saya kira, ini adalah kemenangan bersama untuk seluruh pelajar yang menceburi bidang ini”, kata Farhan yang mewakili pasukannya dan memenangi acara bagi kategori Quadcopter.

AEROFEST 6678

“Bagi saya selain daripada hubungan silaturahim, program ini sangat memberi manfaat kepada kami dalam mempelajari ilmu pengetahuan yang baru dan menambahbaik segala kekurangan untuk kami lebih kreatif dan inovatif pada masa hadapan”, katanya lagi.

Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 bagi juara, RM300.00 bagi Naib Juara dan RM100.00 bagi tempat ketiga beserta trofi dan sijil penyertaan.

Turut hadir dalam majlis penutup adalah Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfa Mohammad Kassim serta dua orang penaja program iaitu Pengurus, Synergy (M) Sdn. Bhd., Muhammad Syafiee Mazlan dan Pengarah Urusan, Jat Asset Intergrity Offshore & Onshore Sdn. Bhd., Azhar Abdul Aziz.


Teks: Norafiza Osman & Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin