Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

“SAMBUTAN USM BAGAIKAN VVIP BUAT KAMI" KATA KAUNSELOR KMK

Kolej Matrikulasi Kedah 7065

NIBONG TEBAL, 27 November 2015 – Seramai 76 pelajar semester dua jurusan biologi, fizik dan kimia dari Jabatan Sains, Kolej Matrikulasi Kedah gembira dan teruja adakan lawatan sambil belajar ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Auditorium, Kampus Kejuruteraan, USM meriah dengan pelbagai aktiviti pameran daripada pasukan promosi USM, Kampus Kejuruteraan yang terdiri daripada pensyarah, staf teknikal dan pelajar dari enam pusat pengajian.

Kolej Matrikulasi Kedah 7071

Menurut Kaunselor, Kolej Matrikulasi Kedah, Rohaidzan Abdul Samad, berkata lawatan tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat yang tepat berkaitan program-program yang ditawarkan oleh USM seterusnya dapat membantu pelajar memilih bidang yang diminati dalam meneruskan pengajian selepas tamat pengajian matrikulasi.

“Sebenarnya, lawatan ini diadakan atas permintaan pelajar sendiri dan USM dipilih sebagai lokasi lawatan kerana kebanyakan pelajar yang hadir hari ini meminati bidang kejuruteraan”, jelasnya selaku ketua lawatan.

Kolej Matrikulasi Kedah 7041

Menurutnya lagi, sebelum ini semua maklumat yang diterimanya hanya melalui laman web USM dan beliau tidak dapat memberi maklumat yang tepat kepada para pelajarnya.

“Taklimat yang disampaikan pada hari ini sangat berguna dan saya akui bahawa pelajar pasti lebih jelas dan mendapat pendedahan yang sebenar mengenai kursus yang ditawarkan oleh USM”, katanya.

Kolej Matrikulasi Kedah 7037

“Saya tidak menjangka dan sangat terharu dengan penerimaan USM yang menyambut kedatangan kami bagaikan VVIP”, katanya yang ditemui semasa melawat tapak pameran di Foyer Auditorium.

Sementara itu, Pelajar Semester Dua, Jabatan Sains, Kolej Matrikulasi Kedah, Tan Li Han, berkata beliau sangat gembira kerana dapat bersama rakan-rakan merasai kemeriahan dan mendapat pelbagai maklumat terus daripada pensyarah dan pasukan USM yang berada di tapak pameran.

Kolej Matrikulasi Kedah 7112

“Saya mahu membanggakan ibu bapa dan ingin mengikut jejak kakak yang menyambung pengajian di USM dalam bidang kejuruteraan kimia”, jelas pelajar jurusan fizik yang meminati bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik itu.

Turut hadir memberi taklimat dalam lawatan ini adalah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan Sadullah, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin, Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim, Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Madya Dr. Norlaili Mohd Noh, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan, Prof. Madya Dr. Mohd Azmier Ahmad serta Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim.

Kolej Matrikulasi Kedah 7119

Program promosi ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pengarah, Bahagian Pengurusan Akademik, pensyarah, staf teknikal dan pelajar dari enam Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan.


Teks: Norafiza Osman / Foto: Faisal Mohamad