Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KISHVA YAKIN CORAK CYC HADAPI CABARAN GLOBAL

Kisva

Teks: Mohamad Abdullah (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

PULAU PINANG, 1 Disember 2015 - "Saya berterima kasih kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dan semua yang membantu menjadikan saya seperti mana hari ini," kata-kata pertama dalam emel Pengerusi baharu Commonwealth Young Council (CYC) Kishva Ambigapathy dari Malta, tempat berlangsungnya Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Negara Commonwealth Ke-24.

Menurut Kishva,  kejayaan ini amat bermakna apabila mendapat mandat dari 1.2 bilion anak muda dari negara-negara Commonwealth untuk memimpin begitu besar anak-anak muda  dengan kepelbagaian organisasi belia.

"Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi juga kejayaan kepada negara saya Malaysia, sebagai penghormatan dan pengiktirafan di pentas dunia," kata Kishva.

Anak muda berusia 25 tahun yang menerima ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM pads tahun 2013 dan sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains (M.Sc) di United Kingdom ini yang juga bekas pelajar Penang Free School Pulau Pinang, mempunyai banyak agenda untuk dilaksanakan sepanjang memimpin CYC.

"Agenda kami ialah untuk memperjuangkan pelbagai isu, daripada perubahan iklim, keusahawanan belia, peluang pekerjaan, keganasan keterlaluan golongan pelampau mahu pun kesepaduan sosial.

"Lebih 200 orang belia bertemu di Malta menunjukkan keprihatinan dalam pelbagai bidang dan mencadangkan pelan tindakan untuk mengatasinya, dengan keutamaan kepada menterjemahkan inovasi kepada tindakan dan berkembang," kata Kishva.

Tambah Kishva, kejayaan ini juga datang bersama banyak peluang yang terbuka luas sebagai ruang kita lebih mempelajarinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dapat diterokai di Malaysia terutamanya tatkala kita berhadapan dengan pelbagai cabaran perubahan dunia global.

"Malaysia juga mempunyai kekuatan dasar dan kapasiti dalam pembangunan belia yang dapat dikongsi dengan Commonwealth dan dunia seluruhnya," tegas Kishva.

Sementara itu dalam ucapannya kepada ketua-ketua negara CHOGM di sini, Kishva menegaskan hasratnya sebagai pemimpin baharu CYC untuk menggerakkan komuniti belia Commonwealth untuk membangunkan ekonomi secara progresif, pembangunan inklusif dan masyarakat yang bermaklumat melalui pembangunan lestari.

"Kami ingin memimpin perubahan ini bersama-sama untuk mencapainya dengan segala kekuatan yang ada, berani, adil dan menyatukan seluruh Commonwealth demi kesejahteraan masa hadapan, kreatif dan memastikan kepimpinan yang penuh keyakinan untuk mencorakkan masa hadapan," tegas Kishva.