Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NTU BERMINAT JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN USM

NTU 7685

Teks: Mohd Kamil Ashar (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

NIBONG TEBAL, 11 Disember 2015 – Nanyang Technological University (NTU), Singapura melalui Nanyang Environment & Water Research Institute (NEWRI) berminat menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang penyelidikan berfokuskan air dan sebarang kajian yang berhubung kait dengan air serta persekitaran.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata pertemuan antara pihak NTU dan USM tersebut sangat penting dan dapat memberi pendedahan serta faedah jangka panjang dalam pembangunan penyelidikan negara khususnya.

“Saya yakin, ini merupakan permulaan yang baik dalam menentukan strategi dalam penyelidikan yang seterusnya dapat membantu komuniti serta masyarakat”, katanya.

NTU 7663

Jelasnya, kita hanya melihat dan mengadakan kerjasama dengan universiti dan organisasi yang lebih jauh dengan melupakan bahawa kita mempunyai jiran yang lebih dekat dan pasti dapat membantu dalam perkembangan penyelidikan.

“Ini merupakan satu peluang yang baik dan perlu kita lihat dalam ruang lingkup yang lebih luas dalam menghadapi cabaran pada masa kini”, tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama seperti ini amat selari dengan harapan universiti iaitu menjadikan USM sebagai salah sebuah universiti tersohor di dunia menjelang 2025 nanti”, kata Zainal Arifin dalam ucapan akhir program lawatan tersebut yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).

Pengarah Eksekutif, Nanyang Environment & Water Research Institute (NEWRI), Profesor Ng Wun Jern, berkata beliau amat berpuas hati dengan layanan dan pembentangan yang dibuat oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan mengenai USM secara keseluruhan.  

NTU 7690

“Kami merupakan institusi penyelidikan sepenuhnya yang berfokus kepada air dan apa juga yang berhubung kait dengan air”, kata Wun Jern dalam pembentangan beliau mengenai NEWRI kepada wakil-wakil Pusat Pengajian dan Pusat Penyelidikan USM di sini semalam.

“Kami masih tidak cukup lengkap dalam bidang ini dan kami berada disini juga tidak lain dan tidak bukan adalah untuk belajar dan bekerjasama dalam membangunkan institusi penyelidikan khususnya dalam kajian mengenai air dan persekitaran”, tambah Wun Jern lagi.

Sementara itu, Felo Penyelidikan Kanan dan Penyelidikan Air, NEWRI, Dr. Maszenan Abdul Majid yang ditemui berkata, terdapat tiga perkara yang ditemui hasil lawatan tersebut iaitu mengenai keselamatan air, membran dan penggunaan sisa atau bahan buangan untuk penghasilan tenaga.

“Hasil perbincangan hari ini telah memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dengan USM dalam  penyelidikan membran baharu dengan menggunakan tenaga yang lebih tahan supaya air yang mempunyai magnesium itu boleh diminum”, kata Maszenan.

Menurutnya lagi, pihak NEWRI akan menyediakan laporan lengkap serta kaedah dalam meneruskan kerjasama dengan USM sebelum dibawa ke peringkat atasan.

NTU 7767Seramai 21 orang delegasi lawatan yang hadir turut dibawa melawat makmal dan kemudahan peralatan yang terdapat di Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).