Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PAKAR KEJURUTERAAN BANTU PULIH TELAGA

 

PPK Awam telaga1

 

8 Januari 2015 - Seramai 9 orang ahli akademik, penolong jurutera dan pegawai dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan seorang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral bersama-sama seorang calon doktor falsafah yang diketuai oleh pakar dalam bidang rawatan dan bekalan air Profesor Dr. Mohd. Nordin Adlan adalah antara sukarelawan yang turun padang membantu dalam pasca banjir di Kelantan.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, misi utama pasukan ini ialah untuk bersama-sama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) mencuci telaga (tube wells) tersumbat supaya dapat digunakan segera di sekolah-sekolah.

 

"Mereka juga perlu membuat tinjauan dan perancangan untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dengan mengenal pasti lokasi baharu telaga yang sesuai," kata Ahmad Farhan.

PPK Awam telaga2

Menurut seorang lagi pakar dalam bidang kejuruteraan kumbahan, bekalan air dan air buangan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang turut serta dalam misi tersebut, Profesor Dr. Hamidi Abdul Aziz, tumpuan utama pasukan kerjanya ialah untuk membantu membaik pulih telaga namun dalam waktu terdekat ini fokus kami lebih tertumpu untuk mendapatkan bekalan air dengan menggunakan kemudahan yang ada untuk membantu sekolah-sekolah yang belum dicuci.

"Banyak telaga yang tidak berfungsi akibat banjir yang melanda, jadi kami berusaha untuk pulihkannya sebaik mungkin terutamanya di kawasan yang pedalaman yang kritikal," kata Hamidi.

Mereka berjaya mendapatkan bekalan air untuk mencuci sekolah di Tumpat dan dijangka usaha ini akan diteruskan lagi nanti di sekolah lain.

"Dalam jangka panjang kami berharap dapat membantu lagi sekolah-sekolah menyediakan bekalan air telaga yang selamat terutamanya yang telah tersumbat akibat banjir," kata Hamidi.​ - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Profesor Dr. Hamidi Abdul Aziz