Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

78 SUKARELAWAN SISWA BERSEDIA BANTU MANGSA BANJIR DI PAHANG

sukarelawan banjir-00

NIBONG TEBAL, 16 Januari 2015 – Seramai 78 orang sukarelawan terdiri dalam kalangan pelajar Kampus Kejuruteraan bersiap sedia menyertai misi pasca banjir di Pahang yang memulakan perjalanan mereka pagi ini.

"Ini merupakan misi sukarelawan pelajar dari Kampus Kejuruteraan pertama dalam membantu mangsa banjir yang melanda beberapa negeri pada tahun ini dan untuk kali ini kita akan memberi tumpuan di kawasan Temerloh”, ujar Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Kampus kejuruteraan, USM, Puan Nur Akmar Idris ketika memantau persiapan kelengkapan di PUMA semalam.

sukarelawan banjir-04

"Pihak BHEPP juga akan memastikan keselamatan serta kesihatan pelajar yang terlibat dalam misi kali ini berada dalam keadan baik”, tambah Akmar yang teruja dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh sukarelawan pelajar ini.

Beliau yang sebelum ini turut serta dalam misi sukarelawan staf membantu mangsa banjir di Kelantan mengharapkan supaya sukarelawan pelajar dapat menaman sifat keperihatinan, tanggungjawab dan memahami keadaan sebenar yang berlaku kepada penduduk yang terkesan akibat bencana banjir.  

sukarelawan banjir-01

Sementara itu, Pegawai Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Kampus kejuruteraan, Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli selaku ketua misi berkata tumpuan akan diberikan untuk membantu pembersihan sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.

"Saya berharap semua sukarelawan akan mematuhi arahan yang telah ditetapkan dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit berjangkit serta menjaga kesihatan dan kebersihan diri ketika bertugas membantu kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Pahang ini,” kata Nur Badri ketika ditemui di BHEPP sebelum memulakan perjalanan pagi ini.

sukarelawan banjir-02

"Pihak sekretariat USM akan menyediakan face mask, kasut getah dan sarung tangan kepada setiap sukarelawan bagi memastikan keselamatan mereka semasa melaksanakan tugas-tugas pemulihan banjir yang akan bermula esok”, tambahnya lagi.

Wakil pelajar yang ditemui saudara Amirul Zamanhuri dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral yang juga merupakan YDP Sekretariat Kesukarelawan Kampus Kejuruteraan berkata misi ini merupakan misi yang bakal memberi cabaran dan ketahanan mental dan fizikal terutamanya kepada para pelajar yang belum pernah melaluinya.

"Saya dan rakan-rakan sangat teruja dan bersemangat untuk bersama-sama dalam misi ini setelah kami menamatkan peperiksaan akhir semester pertama pada hari ini’, kata Amirul.

sukarelawan banjir-03

"Kami sememangnya menanti peluang ini dan berharap dapat membantu untuk meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat Pahang terutamanya sekolah-sekolah yang terlibat yang mana sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan sehinga 19 Januari ini”, tambahnya lagi ketika ditemui sebelum bertolak ke Pahang pagi ini.

Turut sama menyertai misi pada kali ini, tiga orang staf Kampus Kejuruteraan iaitu Penggawa Desasiswa Jaya, Dr. Mohamad Hekarl Uzir, Encik Muhamad Fadhli Musa dan Zamri Abd Rani yang masing-masing merupakan pemandu dan Pembantu Am Pejabat di Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Kampus kejuruteraan.

Misi yang akan berakhir pada 19 Januari 2015 ini turut disertai oleh sukarelawan dari Kampus Induk dan semua urusan penginapan, penyelengaraan serta urusan pembahagian tugas akan diuruskan oleh sekretariat "Bilik Gerakan Operasi Pasca Banjir” yang diketuai oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP).


Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli