Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DATARAN KAMPUS BAKAL BERWAJAH BARU

 

Dataran DSC0421

NIBONG TEBAL, 11 Februari 2015 – Dataran Kampus bersebelahan dengan Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Kejuruteraan yang agak suram sebelum ini bakal berwajah baharu apabila peruntukan bagi menaik taraf lokasi tersebut diluluskan oleh universiti.

Pengarah Kampus, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata, dataran yang sebelum ini tidak mendapat perhatian mahasiswa dan staf di Kampus Kejuruteraan itu kini dalam proses pembinaan dan naik taraf bagi memberikan nafas baru kepada lokasi tersebut dan projek dijangka siap selewat-lewatnya penghujung Mei 2015.

 

Menurutnya, antara yang menjadi tumpuan dalam proses naik taraf Dataran Kampus ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir apabila berlaku hujan lebat dikawasan tersebut dengan menaiktaraf sistem saliran.

Dataran 0431

"Selain itu, dengan bantuan dan kepakaran Jabatan Pembangunan, binaan pergola di tengah-tengah dataran dapat memberi suasana baru dan kelainan di kawasan tersebut yang saya yakin dapat menarik minat warga kampus untuk beriadah di sini”, kata Zainal dalam lawatan beliau ke tapak projek semalam.

“Di samping itu, suasana malam di dataran ini akan lebih ceria pada waktu malam dengan pemasangan pencahayaan lampu jenis dekoratif dan “Waterproof Outdoor Security LED Flood Light” ditambah dengan rimbunan pohon-pohon yang menghijau”, ujarnya lagi.

 

Kos keseluruhan projek naik taraf yang mencecah RM246,000 ini adalah merupakan peruntukan APEX tahun 2014 dan dibawa ke tahun 2015 untuk perlaksanaan projek.

Dataran DSC0426

Sementara itu, projek yang turut mendapat perhatian dibawah peruntukan yang sama adalah naik taraf tangga laluan utama, Kompleks Dewan Kuliah dengan kos sebanyak RM83,000.

Kawasan ini turut menjadi perhatian warga kampus untuk aktiviti fotografi, senaman aerobik, latihan tarian dan seumpanya.

Tambah Zainal, Kampus Kejuruteraan yang memang terkenal dengan suasana tenang sangat memerlukan satu kawasan yang lebih santai untuk mereka berkumpul dan beriadah.

Dataran-20150211-WA0026

Projek yang diketuai oleh Jurutera Awam Kanan, Encik Mohd. Noor Naina Mohamed ini dijangka dapat menarik perhatian warga kampus dan merupakan satu lagi mercu tanda Kampus Kejuruteraan.

"Dataran Kampus sebelum ini agak suram dan ia mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk penampilan dan persekitaran yang kurang menarik”,  kata Mohd Noor.

"Jabatan Pembangunan berharap projek menaik taraf ini mampu mengubah suasana Dataran Kampus menjadi sebuah lokasi yang menarik untuk dikunjungi warga kampus dan secara tidak langsung mereka dapat melakukan aktiviti yang berfaedah," katanya lagi.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli