Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

RUANG PAMERAN KAMPUS KEJURUTERAAN JADI TUMPUAN

karnival-ipt-1409

KEPALA BATAS, 1 Mac 2015 – Ruang Pameran Kampus Kejuruteraan jadi tumpuan lebih 25,000 orang awam yang hadir ke Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2015 yang berlangsung selama dua hari disini bermula semalam.

USM sekali lagi telah dilantik menjadi penyelaras urusetia bagi Zon 2 yang meliputi kawasan utara Semenanjung Malaysia iaitu di Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia, Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

karnival-ipt-1204

Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata tujuan utama pemilihan tapak IPPT sebagai lokasi karnival bagi kawasan utara ini adalah untuk memudahkan masyarakat yang tinggal di tanah besar hadir mendapatkan maklumat tanpa perlu pergi ke kawasan pulau.

Menurutnya, pengunjung yang hadir ke karnival yang diadakan disini sangat bertuah kerana secara kebetulan keputusan SPM dan STPM akan diumumkan pada 2 dan 3 Mac yang mana ibubapa dan pelajar dapat membuat persediaan awal dan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin sebelum membuat keputusan dalam meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Karnival-ipt-1252

"Saya berharap kepada semua ibubapa tidak akan menjadikan keputusan SPM mahupun STPM yang bakal diumumkan minggu hadapan adalah pengakhiran dalam menentukan masa depan mereka, tetapi menjadikan ia sebagai laluan untuk meneruskan halatuju dan apa yang penting adalah pilihan yang sesuai berdasarkan kelayakan dan minat mereka”, kata Omar dalam ucapan perasmian semalam.

Sementara itu, beliau turut mengambil peluang mempromosikan Kampus IPPT yang merupakan kampus keempat yang terletak di bandar Bertam dan menawarkan pengajian  dalam bidang klinikal dan pergigian.

karnival-ipt-1220

Upacara perasmian dengan menandatangani plak Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2015 telah sempurnakan oleh Naib Canselor USM itu dengan disaksikan oleh tetamu jemputan iaitu Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPT), Puan Mazula Sabudin dan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Puan Siti Zubaidah A. Hamid.

Karnival Beri Idea Baru Kepada Kampus Kejuruteraan  

karnival-ipt-1341

Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia merupakan salah satu daripada lebih 130 IPTA dan IPTS yang turut serta membuka booth pameran dalam program tahunan Kementerian  Pendidikan Tinggi Malaysia (KPM) bagi tahun yang ke-11 perlaksanaannya semenjak tahun 2015 lagi.

Menurut wakil Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Dr. Mohamad Zailani Abu Bakar berkata sambutan meriah diterima di booth pameran Kampus Kejuruteraan dengan pertanyaan bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah malah ibubapa yang hadir.

"Kebanyakan ibubapa yang ditemui tidak mengetahui keperluan sebenar anak-anak mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan terutamanya di Universiti Sains Malaysia”, kata Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia itu.

karnival-ipt-1397

Beliau berkata hasil daripada karnival yang dianjurkan banyak memberi manfaat kepada Kampus Kejuruteraan dan sangat berguna terutamanya kepada ibubapa, kaunselor dan guru-guru kerana kebanyakan yang ditemui tidak mengetahui peluang yang begitu luas dalam bidang ini malah ada antaranya baru mengetahui bahawa lokasi Kampus Kejuruteraan terletak di Nibong Tebal.  

Beliau turut mencadangkan supaya Universiti Sains Malaysia dapat menjalinkan hubungan dengan Kolej Mara, Matrikulasi dan sekolah-sekolah untuk memberi penerangan tentang peluang dan bidang yang ditawarkan di Kampus Kejuruteraan.

"Saya berharap sekiranya diberi peluang dalam penganjuran program seumpama ini, kita dapat diberi ruang yang lebih luas untuk membawa model-model dan hasil penyelidikan universiti supaya ia dapat dikongsi bersama dengan masyarakat seterusnya dapat memberikan pendedahan dan gambaran yang lebih jelas kepada mereka”, katanya lagi.  

karnival-ipt-1412

Sementara itu, bagi Dr. Mastura Azmi yang merupakan wakil Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam pula berkata kebanyakan pelajar yang hadir di ruang pameran kejuruteraan ingin mengetahui tentang halatuju selepas bergraduan dalam bidang kejuruteraan.

"Saya sangat teruja dengan minat para pelajar yang hadir dan sekiranya kita dapat memberikan pendedahan lebih awal kepada pelajar-pelajar ini terutama bagi lepasan SPM dan STPM”, ujarnya.

"Saya yakin dengan pendedahan dan penerangan yang komprehensif mereka dapat membuat persedian lebih awal dalam merancang masa depan berdasarkan kepada minat masing-masing”, tambah Mastura.

Turut sama dalam mempromosikan Kampus Kejuruteraan pada hari pertama karnival, Pensyarah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Madya Dr. Khoo Bee Ee, Pensyarah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Muhd Harris Ramli, Pegawai Kualiti, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Encik Nor Irwin Basir dan beberapa pegawai Bahagian Akademik universiti.

karnival-ipt-1362

Hadir sama dalam memberi sokongan kepada petugas Kampus Kejuruteraan iaitu Pengarah Kampus, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan isteri yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin.


Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli