Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KRU MELESTARIKAN PENDAKIAN GUNUNG IRAU

KRU 3225

CAMERON HIGHLANDS, 9 Mac 2015 – Tanggal 7 Mac yang lalu telah memberi kenangan terindah kepada 39 pelajar Kelab Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan apabila berjaya menawan puncak Gunung Irau di Cameron Highlands yang berketinggian 2110 meter dari paras laut.

KRU-potret

Menurut Pengarah Projek ekspidisi, Syafazirah Shuhaimi yang merupakan pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, program ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli sambil mengeratkan silaturahim yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar Kampus Kejuruteraan dalam perbagai bidang dan tahun pengajian yang berlainan. 

KRU 3028

Para peserta tiba di pakir Mossy Forest, Gunung Brinchang pada pukul 1.00 pagi dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disediakan dan mereka sempat memasak serta beristirehat di dalam khemah yang dipasang secara berkumpulan sebelum memulakan pendakian.

Misi pendakian bermula tepat jam 7.45 pagi selepas peserta diberikan taklimat ringkas oleh pengarah projek sendiri dan dibantu oleh pegawai pengiring, Encik Mohd Fadzley Hassan. 

KRU 3048

Setelah mengharungi pendakian yang mencabar dengan laluan yang licin dan curam, kumpulan pertama telah berjaya tiba di puncak Gunung Irau pada pukul 11.00 pagi dan kegembiran itu turut dikongsi bersama dengan kumpulan pendaki lain yang tiba lebih awal.

“Saya yakin para peserta dapat menimba pengalaman ilmu ikhtiar hidup tanpa adanya kemudahan asas sambil menikmati keindahan alam ciptaan tuhan”, kata Syafazirah setelah selamat sampai di kaki gunung yang terletak di sempadan negeri Perak dan Pahang. 

KRU 3100

Beliau turut memberitahu bahawa setiap ahli diwajibkan memungut seminima sampah bagi memupuk semangat sayangkan alam sekitar dan pahit getir pihak yang membangunkan taman rekreasi yang sungguh menakjubkan itu sebelum mereka berangkat pulang meninggalkan puncak Irau.

Seorang peserta yang juga pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Amirul Hafiz berkata sepanjang berada di kemuncak mereka sempat bergambar, memasak, merehatkan badan sambil menikmati keindahan panorama dari puncak yang sungguh mendamaikan. 

KRU 3129

“Ketika perjalanan itu, kami juga terpesona dengan kepelbagaian flora ciptaan tuhan”, kata Hafiz.

Sementera itu, Mohd Fadzley Hassan selaku pegawai pengiring projek ini memberitahu bahawa soal kebersihan dan keselamatan amat dititikberatkan dalam setiap program yang dilaksanakan. 

KRU 3174

Beliau sering mengingatkan para pendaki agar memastikan kelestarian tapak perkhemahan dipelihara dan segala sisa makanan dan sampah sarap dikumpul serta dibuang dalam tong sampah yang disediakan.

Tambahnya lagi, sesuatu yang amat membanggakan mereka pada kali ini terdapat 3 orang staf Pusat Kesihatan Kampus Kejuruteraan yang juga meminati aktiviti lasak seperti ini secara sukarela menyertai pendakian sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini. 

KRU 3020

“Saya amat bersyukur kehadrat Ilahi kerana semua peserta selamat tiba di Mossy Forest walaupun hujan mula membasahi bumi semasa dalam perjalanan pulang”, ujar Fazley.

Kumpulan terakhir telah berjaya tiba mengakhiri misi pendakian kali ini di lokasi pada pukul 5.30 petang.

Teks & Foto: Mat Noor Md Zain