Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KETIBAAN ROMBONGAN DISAMBUT DALAM SUASANA HIBA

Kemalangan Aceh DSC1973

PULAU PINANG, 14 Mac 2015 – Ketibaan rombongan pelajar dan kakitangan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal yang terlibat dalam kemalangan di Aceh Rabu lalu disambut dalam suasana hiba.

Kemalangan yang melibatkan kematian salah seorang pelajar itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira jam 4.20 petang disambut oleh ibu bapa, rakan-rakan mahasiswa, kakitangan universiti dan pihak media.

Kemalangan Aceh DSC1989

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral yang turut sama dalam lawatan sambil belajar itu, Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim menceritakan detik cemas semasa kejadian, insiden itu berlaku terlalu pantas dan ia kemungkinan disebabkan oleh keadaan brek yang tidak dapat berfungsi dengan baik dan menyebabkan bas yang dinaiki hilang kawalan seterusnya terbalik ke bahagian sisi jalan.

“Saya dengar pemandu bas mengatakan “brek mapel” dalam bahasa Indonesia yang bermaksud brek tidak berfungsi, lalu beliau cuba mengelak sebuah kereta yang berada dihadapan dan cuba mengawal keadaan bas”, kata Hazizan yang juga merupakan Penggawa Desasiswa Lembaran ketika ditemubual pemberita.

Kemalangan Aceh DSC1938

“Saya bersyukur kerana bas yang kami naiki tidak terhumban ke dalam gaung yang tidak jauh dari kawasan kemalangan, jika tidak sudah pasti lebih ramai yang akan mengalami kecederaan yang lebih teruk”, katanya lagi.

Beliau yang turut mengalami kecederaan dibahagian muka dan tangan mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua yang terlibat membantu mereka terutama masyarakat kampung dikawasan tersebut yang begitu prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka.

Kemalangan Aceh DSC1951

“Saya dan pemandu bas tercampak keluar dari bas lebih 12 kaki ke kawasan cerun dan terpaksa merangkak menggagahkan diri untuk naik semula ke tepi jalan berhampiran dengan bas yang sudah terbalik”, tambah Hazizan.

Kemalangan berlaku semasa ahli rombongan dalam perjalanan pulang dari lawatan ke lombong arang batu (pertambangan batu bara) di Geumpang PD Acheh lebih kurang 7.20 malam dan suasana ketika itu agak gelap kerana laluan itu merupakan kawasan yang boleh dikatakan kawasan pergunungan.

Beliau yang masih dalam keadaan tidak stabil, sempat bergurau dengan pelajar yang menyambut mereka di Lapangan Terbang dengan mengatakan “Jangan lupa hari rabu depan kelas tetap on” sambil melemparkan senyuman kepada pelajar-pelajarnya.

Kemalangan Aceh DSC1886

Sementara itu, bapa salah seoarang daripada pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu, Rosli Hassan turut mengucapkan syukur kerana anaknya selamat dan beliau reda dengan apa yang berlaku serta menerimanya sebagai ketentuan Allah SWT.

“Apa yang penting anak saya selamat, diberi rawatan yang sempurna dan berharap pihak Universiti Sains Malaysia (USM) dapat memberikan perhatian terhadap anak saya”, kata Rosli yang dilihat tenang ketika menunggu ketibaan anaknya.

Manakala ibu pelajar tersebut berkata beliau yang baru mengalami kemalangan kereta pada 11 Februari yang lalu sudah merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku kerana telah bermimpi sebelum kejadian yang mana beliau mengalami kemalangan pada kali kedua.

“Makcik dah rasa tak sedap hati, sebab baru sahaja kemalangan bulan lepas dimana kereta makcik terbabas dan terpaksa menjalani pembedahan kecil di bahagian tengkuk” katanya sebak sambil menanti kepulangan anak tercinta, Intan Munirah Rosli.

Kemalangan Aceh DSC2009

Semua pelajar dan kakitangan terlibat diperiksa oleh pasukan perubatan dari Pusat Sejahtera USM dan Institut Penyelidikan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam sebelum dibawa pulang ke kampus dengan sebuah bas dan bagi mangsa yang memerlukan pemeriksaan lanjut dihantar ke pusat perubatan seperti di Hospital Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Pergigian Termaju (IPPT) dan Hospital Swasta berdekatan atas permintaan sendiri.

Senarai Deligasi Lawatan Kejuruteraan Sumber Mineral ke Banda Aceh dan Medan, Indonesia

PPKBSM Aceh-1

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai