Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

JENAZAH IZZAMIR SELAMAT DIKEBUMIKAN SELEPAS SOLAT JUMAAT

IzzamirKEPALA BATAS, 14 Mac 2015 – Jenazah Muhammad Izzamir Nabihan A. Majid, 23, yang meninggal dunia apabila bas yang dinaikinya bersama-sama 19 pelajar lain dan 6 orang kakitangan termasuk 5 orang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Kampus Kejuruteraan, USM Nibong Tebal terlibat dalam kemalangan di Aceh Rabu lalu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Al-Jamiul Badawi, disini selepas solat Jumaat semalam.

Izzamir-1772

Jenazah yang tiba pada jam 10.30 pagi di kawasan Kargo MAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) disambut oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, ahli keluarga terdekat dan kakitangan universiti.

Izzamir-1800

Sejurus kemudian, jenazah dibawa ke rumah ibu saudaranya di Taman Abdullah Fahim disini untuk memberi peluang kepada keluarga dan rakan menatap wajahnya dan memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Keluarga yang masih bersedih dengan kemalangan yang menimpa Izzamir dikatakan reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab, periang dan merupakan harapan keluarga.

Izzamir-20150314-WA0018

Lebih menyedihkan ayah Izzamir yang juga seorang Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) masih belum dimaklumkan kejadian yang menimpa anak kedua dari lima beradik itu.

Izzamir 1821

Adik Izzamir, Muhammad Izzaman Nabihan Abdul Majid, 17, berkata mereka sekeluarga masih menyembunyikan kejadian yang menimpa abangnya daripada pengetahuan bapa kerana bimbang kesihatan bapa yang tidak mengizinkan.

“Selepas ini, ibu terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk menjaga bapa dan bimbang jika beliau bertanyakan ibu yang agak lama tidak berada disisinya yang memang memerlukan perhatian sekarang ini”, kata Muhammad Izzaman.

Izzamir-20150313-WA0064

Lebih 1000 jemaah bersama-sama mendirikan solat jenazah di Masjid Al-Jamiul Badawi sebelum jenazah dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan masjid tersebut.

Izzamir-20150313-WA0069

Hadir sama memberi penghormatan terakhir, Adun Pinang Tunggal, Dato' Haji Roslan Saidin, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Adnan Hussein, Dekan Fakultas Teknik, Universitas Syiah Kuala, Dr. Ir. Mirza Irwansyah, rakan mahasiswa dan penduduk setempat.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai