Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM BERJAYA LANCAR BELON ALTITUD TINGGI

Aero space1

NIBONG TEBAL, 22 April 2015 – Pasukan Belon Altitud Tinggi (HAB) yang diberi nama Levitate telah berjaya melancarkan beban bayar atau payload yang membawa dua buah kamera dan beberapa sensor disini hari ini.

Pasukan ini terdiri daripada 12 orang pelajar tahun dua dan empat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Mohd Zulfadli Abdul Ghafar.

Aero 0574

Pelancaran ini bertujuan untuk menyertai Pertandingan Belon Angkasa Global atau singkatannya GSBC yang berlangsung di serata dunia bermula 10 hingga 27 April 2015 dengan membawa misi untuk mengambil gambar matahari terbit dan horizon bumi.

Menurut penyelaras projek, Dr. Norilmi Amilia Ismail, belon bersama beban bayar itu telah dilancarkan pada jam 6.20 pagi dan berjaya dijumpai di perairan Utara Selat Melaka dengan bantuan pihak Maritim Malaysia pada jam 10.47 pagi.

Aero 0565

“Belon ini bukan sahaja berjaya mencatatkan altitud setinggi 27.84 km dari aras laut malah ia berjaya mengambil gambar horizon bumi”, kata Norilmi.

“Kejayaan pasukan pada hari ini adalah hasil kesungguhan dan ketekunan pelajar sendiri dalam memastikan belon tersebut dapat berfungsi dengan baik”, katanya lagi.

Aero flag

Selain itu, turut dapat direkodkan pada pelancaran kali ini adalah bacaan data suhu dan tekanan.

Norilmi juga berkata, kumpulan pelajar tahun akhir yang menyertai projek ini turut berjaya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ketika mengambil kursus Sistem Kapal Angkasa pada semester lepas dan pada masa yang sama berpeluang berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pelajar tahun dua.

Aero space2

Beliau memberitahu bahawa, aplikasi ilmu dan maklumat yang diperolehi sebelum ini serta daya usaha yang berpanjangan untuk mempelajari sesuatu yang baru oleh para pelajar dalam pasukan ini merupakan hasil kejayaan USM yang menekankan aspek pembelajaran berterusan kepada mahasiswa.

“Penyertaan buat pertama kalinya dalam pertandingan ini, menunjukkan kesungguhan pusat pengajian untuk memberi pendedahan kepada bidang aeroangkasa khususnya bidang astronautik kepada masyarakat”, katanya.

Aero space4

Katanya, lebih mebanggakan pasukan HAB USM ini merupakan pasukan pertama di Malaysia yang berjaya menghantar belon altitude tinggi untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

Tambah Norilmi, pelancaran ini turut mendapat sokongan yang begitu baik daripada Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin selaku Dekan dan juga kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Aero landed

Sehingga ke hari ini, enam misi telah berjaya diterbangkan dan penyelidikan dalam bidang Angkasa Lepas yang hampir (Near Space) akan terus dikembangkan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Dr. Norilmi Amilia Ismail