Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MENTOR RAKAN KECIL 3.0 SEMAI CINTA ANAK YATIM

Anak Yatim01

TANJUNG TUALANG, 11 Mei 2015 - Exco Kebajikan Dan Kerohanian, Sekretariat Mentor Rakan Siswa, Kampus Kejuruteraan telah mengadakan lawatan ke Rumah Anak Yatim Soleha di Tanjung Tualang, Taiping, Perak di bawah Projek Mentor Rakan Kecil (MERAK 3.0), disini semalam.

Menurut Pengarah Projek, Nor Hafilia Azami, seramai 28 orang pelajar Kampus Kejuruteraan Mentor Rakan Siswa telah turun padang menabur bakti dan menyemai kasih sayang kepada anak-anak yatim tersebut.

“Kejayaan projek ini adalah berkat usaha rakan-rakan mentor dan ia menjadi kenyataan apabila kami berjaya mengumpul kutipan sumbangan daripada setiap pusat pengajian berjumlah RM896”, kata ketua exco penajaan, Haziq Mudzakir Abdul Wahab.  

Anak Yatim03

Menurutnya, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral antara yang terbanyak memberi sumbangan iaitu hampir mencecah RM700.

“Saya bangga dan bersyukur kerana dipilih untuk menjadi sebahagian daripada Sekretariat Mentor Rakan Siswa seterusnya dapat menceriakan hati anak-anak yatim disini dan berkongsi pengalaman pahit dan manis yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit”, kata Haziq lagi.

Wang sumbangan tersebut telah diberikan sepenuhnya kepada Rumah Anak Yatim Soleha untuk menampung perbelanjaan pembinaan surau bagi keselesaan anak-anak ini melaksanakan ibadah dan mengadakan kelas-kelas pengajian.

Anak Yatim02

Pelbagai aktiviti berbentuk permainan dalaman dan luaran dijalankan sepanjang berada di sana bagi mengeratkan lagi ukhuwah dan ikatan kasih sayang antara anak-anak yatim dengan fasilitator.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah kotak beracun, mereka cipta baju superhero, lukisan berantai, ambil kacang guna chopstik, baling bola kertas dalam baldi, puzzle dan kesinambungan.

Kunjungan tersebut telah memberi erti yang sangat besar kepada pengurusan Rumah Anak Yatim Soleha dan mereka sentiasa mengharapkan sokongan dan bantuan dari masyarakat.


Teks & Foto : Haziq Mudzakir Abdul Wahab / Suntingan : Mohd Kamil Ashar