Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM MENANG TUJUH ANUGERAH REKA CIPTA KOREA

REKA CIPTA KOREA-WA0006

PULAU PINANG, 21 Mei 2015  -  Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menggondol dua pingat emas, dua pingat perak serta tiga anugerah khas di Ekspo Reka Cipta Wanita Antarabangsa Korea (International Women’s Invention Exposition - KIWIE) 2015 di aT Center, Seoul, Korea Selatan yang berlangsung pada 15 hingga 18 Mei 2015 lalu.

Tiga buah universiti mewakili Malaysia pada pertandingan itu, iaitu USM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang membawa secara keseluruhan 13 produk reka cipta, iaitu empat produk dari USM, tiga produk dari UTM, dan enam produk dari UniMAP.

Ketua delegasi KIWIE 2015, Profesor Dr. Fauziah Ahmad berkata, pihaknya berbangga kerana semua kerja keras penyelidik Malaysia cemerlang sewaktu pembentangan penilaian hasil penyelidikan dengan memperolehi 13 pingat dan 4 Anugerah Khas.

REKA CIPTA KOREA-WA0004

“Ini merupakan satu kejayaan buat Malaysia kerana kemenangan 100% berbanding dengan wakil dari 24 negara lain yang mengambil bahagian," kata Fauziah yang dilantik oleh KWIA (Korean Women Invention Association) sebagai ketua delegasi Malaysia yang dengan membawa 14 orang penyelidik serta 3 orang pelajar USM dan 2 orang pelajar UniMAP untuk sama-sama bertanding dalam Ekspo di Seoul, Korea Selatan pada KIWIE 2015.  Keseluruhannya sebanyak 264 produk reka cipta yang mewakili institusi dari 25 negara dipertandingkan dalam KIWIE 2015.

Fauziah turut membawa pulang pingat emas bagi produk penyelidikannya UslopeM : An Innovation Slope Stability Software.

“Terima kasih kepada kesemua penyelidik Malaysia dan kesemua universiti yang terlibat dengan memberi kerjasama dan bersatu dalam pameran KIWIE 2015 ini, serta dapat bersama-sama harumkan nama negara," katanya lagi.

Empat Produk Reka Cipta penyelidik USM ialah:  

  • Paintosorp - Innovative Solution for Coloured Effluent Treatment - Dr. Suzylawati Ismail (Emas dan dua Anugerah Khas dari Turkish Patent Institute, Turki dan dari KIPA [Korean Invention Protection Association, Korea]);
  • USlopeM: An Innovation Slope Stability software - Profesor Dr. Fauziah Ahmad (Emas);
  • Multifactor IDentifications Attendance System (MIDAS) - Dr. Manmeet Mahinderjit Singh dan David Ong (Perak); dan
  • DIY-Commerce For Clothing Makers And Tailor - Dr. Nurul Hashimah Ahamed Hassain Malim dan Deric Dominic for DIY-commerce (Perak dan 1 anugerah khas dari TTIA Taiwan).

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ehsan Profesor Dr. Fauziah Ahmad, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM selaku Ketua Delegasi Malaysia ke KIWIE 2015.