Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

LAWATAN UNIMAL KE USM BUKA PELUANG KERJASAMA

UNIMAL-1153

NIBONG TEBAL, 29 Mei 2015 – Lawatan delegasi dari Universitas Malikussaleh (UNIMAL), Aceh, Indonesia ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini membuka peluang kerjasama seterusnya menjalinkan hubungan baik antara kedua belah pihak.

Tiga pusat pengajian yang terlibat dalam kunjungan tersebut ialah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

UNIMAL-1114

Menurut Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah berkata perbincangan berkisar kepada perkongsian ilmu dan kaedah pembelajaran yang dipraktikkan di USM.

“Pihak pusat pengajian bersedia untuk bekerjasama dan menjalinkan hubungan baik dengan UNIMAL bukan sahaja perkongsian ilmu malahan hal-hal seperti pertukaran pelajar mahupun pertukaran pensyarah seperti yang dicadangkan oleh pihak delegasi”, kata Ahmad Zuhairi.
 
Manakala, menurut wakil delegasi, Nasrul ZA ST MT pula berkata tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk melihat dan berkongsi kaedah serta program yang ditawarkan di USM seterusnya diaplikasikan di UNIMAL.

UNIMAL-1150

“Kami datang ke sini untuk melihat lebih dekat dan belajar pengelolaan seperti fakultas dan pentadbiran yang menjadi praktis disini”, ujar Ketua Jurusan Teknik Kimia universiti tersebut.

Kata Nasrul lagi, Universitas Malikussaleh banyak kehilangan masa akibat daripada konflik dalam negara dan juga tragedi tsunami yang banyak merubah landskap fizikal bumi dan juga kehidupan mereka.

“Harapan kami sudah pasti ingin belajar pengelolaan sistem yang betul dalam pengajaran dan mungkin kami dalam kalangan pensyarah UNIMAL sendiri akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran di sini”, tambahnya lagi.

UNIMAL-1188

Beliau yang juga merupakan pensyarah universiti tersebut turut berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh USM dan menegaskan bahawa sememangnya ada perancangan untuk mengadakan MOU antara kedua-dua pihak.

Sebelum itu, delegasi terlebih dahulu telah membuat lawatan ke Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Kampus Induk semalam.

Lawatan tersebut berakhir dengan membawa delegasi ke beberapa makmal di Pusat Pengajian yang terlibat.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin