Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PERUBATAN MELAYU KOMPLEMENTARI DALAM PERUBATAN MODEN

MYBFF DSC9502

NIBONG TEBAL, 3 Ogos 2016 – Ilmu perubatan Melayu mungkin tidak dikenali di dunia tetapi ia merupakan satu komplementari kepada salah satu cabang bidang perubatan di Malaysia.

MYBFF DSC9414Menurut Pengurus, Klinik Perubatan Intergratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam, Dr. Wan Adnan Wan Omar berkata ilmu perubatan melayu merupakan salah satu cabang untuk rawatan bagi sesetengah penyakit.

“Bagi kami, kita berhasrat untuk menaikkan ilmu perubatan Melayu dengan pendekatan yang berbeza iaitu dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan sebagai contoh ia hanya dilaksanakan di klinik sahaja”, katanya ketika ditemui dalam program My Body is Fit and Fabulous (MYBFF) anjuran Unit Kesihatan, Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.  

Tambah Dr. Wan Adnan, pihaknya akan memberi fokus dalam perubatan Melayu termasuk penghasilan herba dalam kajian klinikal.

“IPPT akan memberi fokus kepada penyelidikan dan akhirnya menjadi suatu produk yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat”, katanya lagi.

Selain itu, klinik ini juga turut memberi tumpuan kepada kaedah perubatan dalam perubatan penyakit kronik seperti frozen shoulder, back pain, arthritis dan stroke.

Klinik yang dibuka pada waktu bekerja itu turut menawarkan khidmat berbekam dan urutan selepas bersalin dengan caj yang minimum.

Mengulas mengenai tanggapan masyarakat dalam perubatan Melayu, Wan Adnan menjelaskan bahawa kita agak ketinggalan berbanding dengan perubatan Cina dan India yang telah terkenal sejak dahulu malah diiktiraf oleh masyarakat di dunia.

“Perubatan Melayu ini sebenarnya boleh dinaik taraf dan boleh dijadikan sebagai satu bidang perubatan di hospital malah diwujudkan satu jawatan khusus dalam bidang ini”, jelasnya.

MYBFF DSC9481

Beliau turut memberi penekanan dan menggalakkan supaya penyelidik dan pengamal perubatan Melayu ini dapat mendokumentasikan semua ilmu berkaitan dengannya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Unit Kesihatan, Kampus Kejuruteraan, Dr. Menal A. Hamdi berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai kesihatan warga kampus.

“Tujuan program seperti ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada warga kampus supaya dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik”, katanya dalam ucapan perasmian.

Menurut Dr. Menal A. Hamdi, program MYBFF ini merupakan program intervensi gaya hidup sihat bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan masyarakat kampus seterusnya dapat menjalani kehidupan lebih sihat dan meningkatkan prestasi kerja.

MYBFF DSC9548

Program yang dimulakan dengan senaman masyarakat Melayu yang diberi nama “Senaman Tua’ diketuai oleh Penolong Pegawai Perubatan, Mohd Wazir Abu Bakar itu mendapat maklum balas yang sangat baik daripada peserta.

Turut diadakan adalah ceramah pemakanan sihat yang disampaikan oleh Pegawai Dietetik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Yusfizahani Md Yusuff dan demo makanan sihat oleh staf Unit Kesihatan sendiri.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad