Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PERSATUAN PELAJAR PUSAT PENGAJIAN KEJURUTERAAN KIMIA (CHESS) SAMBUT BAIK KEDATANGAN LAPAN SEKOLAH MENENGAH UNTUK PROGRAM TERJAH USM PROJECT - SMART ADD MATHS

terjah usm 1

NIBONG TEBAL, 29 April 2017 - Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia atau nama singkatannya CHESS menyambut baik kedatangan lapan buah sekolah menengah di sekitar Kerian, Perak dan Nibong Tebal, Pulau Pinang untuk program penumpuan sehari kepada mata pelajaran yang paling mencabar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Matematik tambahan.

Projek yang diterajui oleh Syed Husseini Syed Sulaiman, pelajar Tahun Ketiga Kejuruteraan Kimia ini mengambil masa perancangan selama lebih kurang tiga bulan yang akhirnya telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan daripada semua ahli jawatankuasa.
terjah usm 2
Sekolah-sekolah yang terlibat dalam program ini bagi daerah Nibong Tebal, Pulau Pinang adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong (10 orang pelajar), Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Syeikh Abdullah Fahim (10 orang pelajar), dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (seorang pelajar) manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (11 orang pelajar), Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang (10 orang pelajar), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak (10 orang pelajar) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru (15 orang pelajar), mewakili daerah Parit Buntar, Perak.
terjah usm 0
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pada jam 8 pagi di Dewan Auditorium, Kampus Kejuruteraan. Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin turut sama hadir dan disertai oleh wakil-wakil sekolah semasa majlis pembukaan. Dalam ucapannya, Pengarah Kampus menekankan kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian sambil menyatakan bahawa Matematik Tambahan adalah salah satu mata pelajaran penting jika pelajar ingin menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di peringkat universiti.
terjah usm 3

Terjah USM bukan sahaja memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami teknik-teknik menjawab soalan-soalan peperiksaan, malah mereka juga dikumpulkan dalam kelompok-kelompok sekolah yang berbeza dalam menjalankan latihan secara berkumpulan atau lebih dikenali sebagai Latihan Dalam Kumpulan (LDK) untuk menyelesaikan pelbagai masalah lain. Profesor Madya Dr. Syamsul Rizal Abd Shukor kemudiannya telah menjalankan ceramah motivasi kepada semua yang hadir pada program sesi petang.

Di Kedudukan ke-38 di dunia, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) telah terkenal di seluruh dunia dan sudah masanya ia lebih dikenali oleh masyarakat setempat. Inisiatif yang diambil oleh mahasiswa Kejuruteraan Kimia ini adalah selaras dengan pencapaian-pencapaian yang telah dikecapi oleh Pusat Pengajian.

Adalah diharapkan pelajar akan mendapat manfaat daripada ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang program berlangsung.
terjah usm 7

terjah usm 5

terjah usm 6

terjah usm 4

Tekst: Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir / Foto: Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia