Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

‘INNOVATE MALAYSIA 2015’-KEMENANGAN BERGANDA PELAJAR KEJURUTERAAN

Innovate 7903

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2015 – Kemenangan berganda pasukan pelajar kejuruteraan dalam Innovate Malaysia Design Competition 2015 yang berlangsung di Nexus, Bangsar, South City baru-baru ini membuktikan kebolehan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan diiktiraf.

Innovate Malaysia Design Competition 2015 merupakan satu pertandingan rekabentuk dan inovasi kejuruteraan dan terbuka kepada semua pelajar tahun akhir bidang kejuruteraan serta Sains Komputer seluruh Malaysia.

Innovate 7881

Dalam pertandingan ini, pasukan dibawah bimbingan Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin telah memenangi tempat pertama bagi kategori ‘Track’ National Instruments dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 beserta peralatan NI myRIO dan perisian Lab View Student Edition.

Pasukan ini diwakili oleh dua pelajar tahun akhir iaitu Yiauw Diing Shenq dan Wee Hin Sheik dengan membawa projek bertajuk “Development of Add-on Active Vibration Control (AVC) for Power Tools”.

Innovate 7907

Projek yang dapat mengurangkan kadar peratusan gegaran sehingga 80% bagi alatan tangan yang digunakan ini turut mencuri tumpuan juri apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori ‘IEM Best Paper Award’ oleh Lembaga Jurutera Malaysia sekaligus membawa pulang hadiah berjumlah RM1,500.

Lebih manis mereka turut berjaya meraih satu lagi kemenangan melalui kategori ‘Best Demo Video Award’ dengan jumlah ‘LIKE’ tertinggi di laman social Facebook rasmi Dream Catcher seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Sementara itu, dua lagi pasukan masing-masing dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik turut mendapat hadiah saguhati dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Innovate 7868

Lebih 400 penyertaan dari 26 buah Universiti Awam dan Swasta mengambil bahagian dalam pertandingan pada kali ini, namun hanya lima kumpulan sahaja bagi setiap ‘track’ akan mara ke pusingan akhir untuk diadili juri sebagai pemenang.

Teks: Mohd Kamil Ashar & Hishammudin Endan  Foto: Hishammudin Endan