Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

HWS 2015: KONTINJEN PIPIT HUTAN SASAR KEKALKAN KEJUARAAN

HWS 5930

NIBONG TEBAL, 20 Oktober 2015 – Kontinjen Pipit Hutan menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan yang diperolehi pada tahun lalu semasa Hari Warga Staf Universiti Sains Malaysia (USM) 2015 yang akan berlangsung pada 12 Disember 2015 di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Bertam.

Ketua Kontinjen, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata bukan sesuatu yang mudah untuk mengekalkan kejuaraan, tetapi ia memerlukan keazaman dan semangat kerja secara berpasukan serta kesungguhan dalam mencapai sesuatu matlamat.

Menurutnya, sebanyak sembilan acara yang akan dipertandingkan juga seperti tahun yang lalu kecuali acara berbasikal yang hanya akan diwakili oleh VIP sebagai pertunjukan sahaja.

“Saya berharap semua Ketua Jabatan dan warga staf Kampus Kejuruteraan dapat melibatkan diri dan memberi sokongan padu dalam misi mengekalkan kejuaraan ini”, katanya semasa mempengerusikan mesyuarat pertama bersama ahli jawatankuasa yang dilantik.

“Pada masa yang sama, program ini saya lihat sangat bermanfaat kepada staf khususnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerja berpasukan, semangat bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain”, tambah Zainal.  

Sementara itu, Timbalan Ketua Kontinjen, Profesor Dr. Hanafi Ismail yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral turut memberi kata semangat dan berjanji akan memberi komitmen serta kerjasama kepada kontinjen seterusnya menjayakan program tahunan universiti ini.

HWS 5916

Seperti tahun sebelumnya sebanyak tujuh kontinjen terlibat dalam penyertaan HWS 2015 iaitu empat dari Kampus Induk iaitu Tampung Bajau, Merbah Surih, Birik-Birik dan Sambar Kuning manakala tiga dari kampus cawangan iaitu Pipit Hutan dari Kampus Kejuruteraan, Pekaka Udang dari Kampus Kesihatan dan Pucung Harimau dari IPPT.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin