Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

35 RESOLUSI DICAPAI HASIL PROGRAM PENINGKATAN KUALITI AKADEMIK

QA MWH 6270

PULAU PINANG, 9 November 2015 – Seramai 30 peserta dalam kalangan ahli akademik Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengikuti Program Peningkatan Kualiti Akademik Kejuruteraan yang diadakan di Maritime Waterfront Hotel, Pulau Pinang, semalam.

Mereka yang menyertai program ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Kampus Kejuruteraan (JPK), Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE), wakil Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan serta Pusat Rancangan Kokurikulum.  

Program selama dua hari bermula 7 November 2015 itu telah dianjurkan oleh Bahagian Kualiti dan Akreditasi (Q&A)  dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar, Kampus Kejuruteraan, USM.

QA MWH 222

Menurut Penyelaras, Bahagian Kualiti dan Akreditasi, Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Sanusi S. Ahamad, keutamaan program ini diadakan adalah untuk mengukuhkan lagi pencapaian OBE bagi semua kesebelasan program kejuruteraan yang ditawarkan disini.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengenalpasti elemen-elemen kritikal yang mempengaruhi kualiti dan masa hadapan program kejuruteraan seterusnya menyediakan cadangan-cadangan yang berguna sebagai penyelesaian”, katanya ketika ditemui semasa majlis makan malam di Dewan Panorama1, Maritime Waterfront Hotel.

QA MWH 6258

“Saya kira, secara keseluruhan, program ini dianggap berjaya dilaksanakan dengan adanya sesi sumbang saran atau brain storming bagi meningkatkan kualiti akademik di Kampus Kejuruteraan”, jelas beliau.

Sejumlah 35 resolusi telah dicapai dan diluluskan oleh JPK dalam majlis khas jawatankuasa itu yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kampus Kejuruteraan (JPKK) untuk kelulusan dan pelaksanaan.


Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin