Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

Profil

Eng Campus smallKewujudan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), di Transkrian, Nibong Tebal, sangat menonjol dan unik bagi sebuah bandar kecil di hujung selatan Seberang Perai Selatan (SPS) ini, dan dua buah bandar kecil lain yang bersempadan dengannya, iaitu Parit Buntar di Perak dan Bandar Baharu di Kedah.  Penonjolan dan keunikan ini diserlahkan oleh reka bentuk dan susun atur bangunan serta lanskapnya yang berkonsepkan serba moden dan futuristik. Kewujudan kampus ini lebih ketara kerana inilah satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang terdapat di kawasan ini, yang masih boleh dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.

Kampus seluas 146.65 hektar ini pada asalnya ialah sebuah ladang kelapa sawit. Ia dibangunkan berasaskan konsep futuristik tetapi tetap mesra alam. Sehingga kini, kampus ini menempatkan kira-kira 3,200 orang pelajar.

Kelahiran kampus ini adalah selaras dengan hasrat USM khususnya, dan kerajaan umumnya, untuk mengembangkan pengajian dalam bidang kejuruteraan bagi melahirkan modal insan yang menjadi teras dan pemacu pembangunan dan pemajuan negara. Ia bertunas sebagai sebuah pusat pengajian sains gunaan di kampus induk USM pada 1972. Era pengajian kejuruteraan bermula di universiti ini pada 1984 apabila pusat pengajian ini disusun semula menjadi dua disiplin ilmu dan dinamai Pusat Pengajian Sains Kejuruteraan & Teknologi Perindustrian. Keperluan untuk menampung kepesatan perkembangan dalam bidang pengajian kejuruteraan, mendorong USM memisahkan bidang pengajian ini secara fizikal. Dengan itu, lahirlah kampus cawangan khusus untuk bidang pengajian kejuruteraan.

Pada asalnya, kampus cawangan ini ditempatkan di Seri Iskandar, sebuah bandar yang terletak kira-kira 28 kilometer dari bandar raya Ipoh, Perak. Sesuai dengan lokasinya, kampus ini dinamai Kampus Cawangan Perak (KCP). Walau bagaimanapun, setelah 15 tahun (1986-2001) menghuni negeri jiran itu, kampus ini kembali ke negeri asalnya, Pulau Pinang, dan namanya ditukar menjadi Kampus Kejuruteraan.

pintu masukBertepatan dengan namanya, kampus ini menawarkan peluang pendidikan dalam pelbagai bidang kejuruteraan kepada rakyat Malaysia dan juga warga asing. Setakat ini, ia menempatkan enam buah pusat pengajian kejuruteraan. Pusat-pusat pengajian itu ialah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Bahan & Sumber Mineral, Pusat Pengajian Elektrik & Elektronik, Pusat Pengajian Kimia dan Pusat Pengajian Mekanik. Pusat-pusat pengajian ini menawarkan peluang pendidikan dari peringkat ijazah pertama hingga peringkat doktor falsafah (PhD). Selain itu, kampus ini juga menempatkan dua buah pusat penyelidikan, iaitu Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).

Selain pusat-pusat pengajian dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, kampus ini juga mengandungi Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan  an Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT). Fungsi utama pusat-pusat ini ialah memberikan perkhidmatan yang berkaitan kepada warga kampus dan juga kepada masyarakat sekitarnya. Pusat-pusat perkhidmatan lain ialah Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pembangunan dan Jabatan Keselamatan.

redacKedudukan kampus ini, yang merangkumi tiga buah bandar kecil di tiga buah negeri berjiran, adalah sangat strategik. Sesuai dengan sifatnya sebagai satu-satunya IPT yang terdapat di kawasan ini, ia dijangka akan menjadi pemangkin untuk mempercepat pertumbuhan bagi ketiga-tiga daerah berkenaan. Kehadiran kampus ini akan membantu mewujudkan koridor  pertumbuhan ekonomi yang merangkumi Nibong Tebal-Parit Buntar-Bandar Baharu dan kawasan sekitarnya. Dalam hal ini, peranan yang dimainkan oleh kampus ini adalah selaras dengan perancangan dan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil.

Menjadi tanggungjawab dan harapan warga kampus ini, dan harapan masyarakat seluruhnya, agar Kampus Kejuruteraan ini  terus hidup subur dan berkembang untuk menabur bakti kepada masyarakat dan menjulang aspirasi negara.