Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TERUJA SAMBUNG PENGAJIAN BIDANG KEJURUTERAAN USM

Mara 6886

KULIM, 24 November 2015 – Seramai 283 pelajar matrikulasi semester dua Kolej MARA Kulim teruja untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Sains Malaysia (USM) setelah diberi taklimat dan pendedahan mengenai peluang serta kursus yang ditawarkan semasa Re-Orentasi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (MKPM) di sini semalam.

Mara 6690

Menurut Pengerusi, Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan, Dr. Farzad Ismail berkata program tersebut perlu dilaksanakan lebih kerap dalam mempromosikan USM khususnya dan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang kejuruteraan.

“Program seperti ini dapat memberi peluang kepada kita untuk menyampaikan maklumat yang betul dan tepat kepada pelajar yang mana kebanyakan mereka beranggapan bahawa USM hanya menawarkan bidang sains sahaja”, jelas beliau.

Mara 6713

“Rata-rata pelajar yang hadir menunjukkan minat yang sangat tinggi untuk menyambung pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan di Universiti Sains Malaysia”, katanya lagi.

Farzad yang juga merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPK Aero) turut berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua wakil  pusat pengajian yang hadir bersama dalam usaha mempromosikan universiti.

Mara 6752

“Saya lihat ini satu permulaan yang baik dan perlu diteruskan pada masa hadapan dengan skop yang lebih luas”, tambah pensyarah muda itu.

Sementara itu, Kaunselor, Kolej MARA Kulim, Cik Siti Mahfuzah Shahir @ Abdullah, berkata program sebegini dianjurkan adalah untuk meningkatkan motivasi dan menentukan halatuju pelajar dalam bidang kejuruteraan setelah mereka menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi.

Mara 6784

“Saya yakin bahawa dengan adanya program seperti ini dapat membantu dan memberi pengetahuan kepada para pelajar mengenai halatuju dan peluang yang ditawarkan oleh universiti”, katanya.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Nadia Rasyidah Shahidan, berkata, beliau telah menyimpan cita-cita untuk menyambung pengajian di USM sejak berada di peringkat sekolah rendah lagi.

Mara 6819

“Bagi saya, peluang belajar di Universiti Sains Malaysia merupakan satu anugerah kerana bukan mudah untuk bersaing dalam mendapatkan tempat di Universiti APEX ini”, kata Nadia yang meminati bidang kejuruteraan elektrik & elektronik.

Program promosi ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pejabat Pengarah, Bahagian Akademik, pensyarah dan staf teknikal dari enam Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan.


Teks: Norafiza Osman & Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin