Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KUKUHKAN BIDANG KEJURUTERAAN, BINA BUDAYA KEUSAHAWANAN

PNC DSC0316

NIBONG TEBAL, 26 Januari 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mensasarkan Kampus Kejuruteraan dapat mengukuhkan bidang kejuruteraan dengan peningkatan bilangan penerbitan dan dalam masa yang sama membina budaya keusahawanan dalam diri mahasiswa.

Menurut Naib Canselor USM dalam ucapan awal Perutusan Naib Canselor 2015 di Auditorium, Kampus Kejuruteraan, terdapat tiga keadaan yang pasti akan berlaku di dunia ini iaitu keutuhan sejagat, keteguhan keamanan dan keteguhan ekonomi yang mana universiti juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh faktor tersebut.

PNC DSC0290

“Kita perlu melihat bagaimana industri boleh menjadi sebagai rakan kongsi kita terutama di Kampus Kejuruteraan ini kerana jika kita menjalankan program tanpa melihat kepentingan industri, ini bermakna kita bersendiri dan dalam erti kata lain kita hanya syok sendiri”, kata Omar semasa perutusan beliau untuk kali keempat di Kampus Kejuruteraan.

“Kita juga perlu tahu bahawa kita akan hanya boleh menjadi sebuah universiti atau jabatan yang kuat apabila institusi kita boleh menyokong keupayan kita dan jika sebaliknya kita akan rasa kecewa jika institusi itu tidak menyokong kita”, tambah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia itu.

 

Menurut Omar, Universiti Sains Malaysia (USM) sememangnya menyokong warganya kerana mereka mempunyai satu ekosistem yang kuat dalam menyokong keutuhan dan ketokohan atau talent yang begitu tinggi.

PNC DSC0363

Tegas beliau, warga universiti tidak perlu takut dan bimbang untuk mencuba serta mencari idea-idea baru dalam melaksanakan sesuatu perkara sama ada pembelajaran, penyelidikan mahupun dalam hal-hal penjanaan pendapatan universiti.

“Kita perlu merancang dan melaksanakan sesuatu secara bersama-sama dan tidak boleh buat secara bersendirian kerana kita tidak boleh lari daripada bekerja dalam satu pasukan yang sudah pasti akan membuah hasil yang lebih baik”, ujar Omar.  

 

“Apa yang paling penting, kita perlu perkukuhkan apa yang ada di sekeliling kita terlebih dahulu sebelum kita kembangkan kepada platform yang lebih besar dengan merancang dan mengambil kira kekuatan dari segi apa”, ujarnya lagi.

PNC DSC0369

Beliau turut mengakui bahawa anatara cabaran besar di Kampus Kejuruteraan adalah dalam hal pemilihan pelajar-pelajar yang berkualiti dan untuk mendapat lebih ramai pelajar antarabangsa.  

Omar turut menegaskan, warga akademik di Kampus Kejuruteraan supaya dapat meningkatkan lagi bilangan penerbitan dan sitasi dan beliau sangat yakin bahawa Kampus Kejuruteraan dapat melakukannya. Walau bagaimanapun, beliau turut memohon supaya dalam masa sama tugasan hakiki untuk mendidik anak bangsa tidak dilupakan.

 

Beliau turut mengharapkan supaya tujuan sebenar universiti untuk mencambahkan ilmu dan dapat mengembangkan ilmu-ilmu itu kepada para pelajar, masyarakat dan negara seterusnya berguna pada masa hadapan.

PNC DSC0374

Dalam masa yang sama, beliau turut mengharapkan supaya perlu lebih ramai penglibatan dari Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan dalam aktiviti kor-sukarelawan. Ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan hubungan kemasyarakatan dalam diri para pelajar yang tidak hanya datang ke universiti semata-mata untuk menimba ilmu dalam bidang masing-masing tetapi juga ilmu kemanusian.

 

“Kampus Kejuruteraan perlu berdiri dan berkembang mengikut budayanya sendiri dan kita ingin melihat kampus ini tahap kewangan yang mampan dengan mencipta pendapatan sendiri samada daripada pengkomersilan atau latihan dalaman yang akhirnya dapat menjana kewangan untuk universiti”.

“Kita perlu melatih mereka dan membina budaya keusahawanan ini selain daripada mengukuhkan bidang penyelidikan yang dilihat stabil di Kampus Kejuruteraan”, kata Omar dihadapan lebih 600 staf dan pelajar Kampus Kejuruteraan yang hadir.

PNC DSC0387

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan Encik Jaffri Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST).

Turut dimuatkan dalam acara pembuka tahun baru 2015 itu adalah penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan yang membantu dalam Operasi Pasca Banjir di Kelantan dan Pahang baru-baru ini serta penyerahan naskhah Berita Sepanjang Tahun Kampus Kejuruteraan 2014.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli