Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENYELIDIK USM HASIL GAJET JIMAT PETROL

Dr Shuib - Utusan

PULAU PINANG 5 Feb. – Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan peralatan yang mampu menjimatkan penggunaan petrol dan diesel untuk kenderaan sehingga ke tahap 50 peratus.

Menurut ketua kumpulan penyelidik berkenaan, Prof. Madya Soib Taib, alat dikenali ‘Gajet Jimatan Minyak Berasaskan Air’ yang masih dalam peringkat prototaip itu apabila dikomersialkan kelak akan membantu mengurangkan pencemaran udara dan juga pemanasan global.

“Projek ini dimulakan pada Mac tahun lalu dan kita jangkakan dalam masa enam hingga sembilan bulan lagi alat ini dapat dihasilkan sepenuhnya.
Advertisement

“Dengan kos kira-kira RM1,200, alat ini boleh dipasang pada ken­deraan seperti kereta, bas, lori, dan bot nelayan.

“Alat ini mungkin boleh diko­mersialkan untuk kegunaan ken­deraan perdagangan dan individu kerana pemasangannya boleh diselaraskan mengikut jenis kenderaan serta tidak mengganggu sebarang fungsi enjin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Soib berkata, projek berkenaan dibangunkan dengan geran penyelidikan bernilai RM40,000 dan alat terbabit juga tidak memerlukan per­belanjaan besar untuk diselenggara setelah dipasang pada kende­raan.

“Setiap 2,000 kilometer, pengguna perlu memeriksa kandungan air dalam peralatan ini dan sekiranya air berkurangan, pengguna hanya perlu menambahkannya,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, buat permulaan, alat berkenaan apabila disiapkan nanti akan dipasangkan pada kenderaan rasmi universiti sebagai ujian.

“Kita mahu hasil pemasangan ke atas kenderaan rasmi universiti nanti mampu menarik penglibatan pihak-pihak industri untuk bekerjasama dalam mengkomersialkan alat ini sekaligus menjamin kelestarian alam,” katanya.

sumber: utusan online