Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MALAM AMAL DEEPAM ERAT HUBUNGAN PELAJAR DAN MASYARAKAT

Deepam 7896

NIBONG TEBAL, 9 April 2015 – Malam amal Deepam 2015 anjuran Engineering Indians Cultural Club (EICC) adalah merupakan salah satu kaedah mahasiswa dalam membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.

Menurut Penasihat EICC, Prof. Madya Dr. Vel Murugan Vadivelu, dalam ucapannya berkata, melalui program ini, kita dapat menanam kesedaran dan kepekaan terhadap kewujudan rumah-rumah anak yatim serta kerelaan untuk memberi bantuan kepada orang ramai.

 

Deepam 7849

“Program ini juga merupakan medan kepada para pelajar dalam menguruskan sesuatu majlis disamping melakukan tugas diluar dari konteks pembelajaran ilmiah di universiti”, kata Vel Murugan disini semalam.

Katanya, “secara individu saya amat menyokong program yang sangat murni ini kerana bukan hanya dapat membantu masyarakat yang memerlukan malah dapat meningkatkan kemahiran, komunikasi dan hubungan yang baik antara mereka”.

Deepam 7939

Sementera itu, menurut penasihat kedua kelab, Dr. Sivakumar Ramakrishnan, hasil daripada kutipan jualan tiket pada malam amal tersebut akan disalurkan kepada rumah anak yatim dikenali sebagai Pusat Jagaan Sinar Ceria yang terletak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pengarah Projek, Kishor Kumar Murugan, ketika ditemui berkata Deepam dapat menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kebajikan dan amal seterusnya memupuk semangat tradisional dalam kalangan warga kampus supaya tidak pupus ditelan zaman.

Deepam 7867

“Ini merupakan tahun kedua program dilaksanakan dan kami mahu semua orang mengambil perhatian mengenai anak-anak yatim dan masyarakat yang tidak bernasib baik” kata Kishor.

Ujar mahasiswa tahun kedua, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia itu lagi program yang dirangka tidak hanya bertujuan untuk mempamerkan persembahan tarian, nyanyian dan lakonan sahaja malah meningkatkan kesedaran siswa-siswi Universiti Sains Malaysia (USM) tentang kebajikan masyarakat sejagat melalui program lain anjuran kelab.

Deepam 7992

Deepam yang membawa maksud cahaya itu turut mempamerkan lakonan mengenai situasi terkini rumah-rumah anak yatim di Malaysia yang memerlukan perhatian, sokongan dan sumbangan masyarakat.

Antara persembahan yang memukau para penonton pada malam amal Deepam tersebut ialah pertunjukan seni mempertahankan diri masyarakat India yang diberi nama silamban dan tarian tradisional India.

Deepam 7913

Para penonton turut dihiburkan dengan acara selingan yang menampilkan penyanyi popular Tamil tanah air, Dhilip Varman serta persembahan Adikarma.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli