Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

78 MURID SKTAM GEMBIRA MELAWAT KAMPUS KEJURUTERAAN

SK Malik 8564

NIBONG TEBAL, 15 April 2015 – Seramai 78 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik (SKTAM), Kulim, Kedah gembira dengan lawatan sambil belajar ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) disini hari ini.

Lawatan siri kedua dari sekolah ini dibawa ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dengan diiringi oleh lima orang guru.

SK Malk 8540

Menurut salah seorang guru pengiring, Ahmad Nasruddin Saad, lawatan pada kali ini melibatkan pelajar tahun enam yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

“Sekurang-kurangnya murid tahun enam ini mendapat pendedahan awal dan membuka minda mengenai peluang pengajian serta perancangan masa depan mereka”, ujar Nasruddin.

SK Malik 8442

“Murid peringkat rendah ini lebih suka melihat alatan yang mereka boleh nampak dan ini merupakan daya tarikan untuk mereka mempelajari sesuatu," katanya lagi.

Pengerusi Rancangan, Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim berkata pihak universiti perlu menggiatkan lagi usaha untuk melibatkan program yang melibatkan sekolah-sekolah sebagai pendedahan awal pelajar.

SK Malik 8478

“Kami mempunyai beberapa pelan perancangan untuk mengadakan program-program yang melibatkan sekolah berdekatan dengan kampus ini sebagai langkah dalam menjalinkan hubungan yang baik antara universiti dan masyarakat khususnya”, ujarnya.

Beliau turut memberi penerangan ringkas mengenai latar belakang universiti serta berjaya menarik minat pelajar itu dengan memberi tugasan berbentuk ujian minda dalam menyediakan sendiri paper helicopter dan menerbangkannya.

SK Malik 8500

Salah seorang murid yang ditemui sangat teruja dengan ilmu aeroangkasa yang ditawarkan serta menyatakan hasratnya untuk menjadi sebahagian daripada pelajar Universiti Sains Malaysia suatu hari nanti.

“Saya gembira kerana dapat belajar ilmu aeroangkasa dan saya bercita-cita untuk menjadi saintis terkenal suatu hari nanti”, kata Muhamad Amirul Hakimi Hamdi yang lebih dikenali rakan-rakan dengan panggilan Mirul.

SK Malik 8510

Sementara itu, dalam lawatan yang sama mereka turut diberi taklimat berbentuk motivasi oleh Timbalan Dekan, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Mohd Azmier Ahmad di Dewan Seminar, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Program tersebut berkahir dengan lawatan ke makmal unit operasi dan makmal kawalan proses di pusat pengajian itu sebelum dibawa ke kafe untuk makan tengah hari.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin