Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

GERAN NanoMITe: USM PERHEBAT PENYELIDIKAN TANGANI PEMANASAN GLOBAL

NanoMITe-5463

KUALA LUMPUR, 13 April 2015 - Kredibiliti Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai antara universiti terbaik rentas penyelidikan terbukti apabila dipilih Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengetuai penyelidikan mengatasi masalah alam sekitar dan pemanasan global.

Geran di bawah Konsortium NanoMalaysia Institute For Innovative Technology (NanoMITe) merupakan tajaan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia berjumlah RM2.5 juta bagi setiap program selama 5 tahun bermula 1 Februari 2015 sehingga 31 Januari 2020.

NanoMITe-5482

Projek penyelidikan yang diketuai oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dilakukan bersama 10 orang penyelidik lain termasuk tenaga pakar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Monash University.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan berkata, dengan perolehan geran ini USM berupaya menjalankan penyelidikan dalam usaha mencari inisiatif bagi menyelesaikan masalah alam sekitar yang dihadapi negara.

"USM sentiasa mencari pendekatan terbaik dalam tempoh yang diberikan hingga ia dapat dikomersial untuk tujuan tersebut," kata Muhamad.

NanoMITe-5506

Sehingga kini kira-kira RM500 juta nilai aset penyelidikan dimiliki di dalam mahu pun dari luar negara yang membolehkan penyelidik di negara ini mampu menghasilkan produk terbaik dalam bidang teknologi nano.

Tambah Muhamad lagi, geran yang diperoleh ini akan dimanfaat sebaik mungkin bagi memenuhi harapan NanoMITe dan Kementerian.

Muhamad ditemui ketika mewakili Naib Canselor menghadiri majlis pelancaran Malaysia Institute of Innovative Nanotechnology (NanoMITe) oleh Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh, di Dewan Utama, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

NanoMITe-5514

Turut hadir adalah Presiden Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Abdul Rahman yang hadir menerima geran tersebut berkata, penyelidikan ini diharap dapat membuahkan hasil untuk membantu negara menyelesaikan segala aspek masalah alam sekitar dengan menggunakan teknologi nano.

"Penyelidikan akan menjurus kepada menukarkan gas Karbon Dioksida kepada bahan ganti yang memberi kegunaan untuk negara seperti Methanol, bahan api dan sebagainya yang diharapkan dapat memberi impak dalam tempoh lima tahun akan datang," kata Abdul Rahman.

Jelasnya lagi, penyelidikan ini juga melibatkan beberapa orang Profesor dari New York Academy of Science dan Jepun.

NanoMITe-5532

Majlis pelancaran ini dianjurkan oleh Akademi Sains Negara bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia. - Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar.