Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM - UNIVERSITI AWAM PERTAMA ANJUR PERTANDINGAN “INDOOR FLIGHT”

Aerofair-9852

NIBONG TEBAL, 27 April 2015 –  Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan universiti awam pertama dalam negara yang menganjurkan pertandingan penerbangan dalaman atau indoor flight baru-baru ini.

Program yang dikenali sebagai Aerofair 2015, anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa itu telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan dan turut mendapat penyertaan melebihi jangkaan daripada sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang.

Aerofair-9559

Sebanyak 42 pasukan dari 26 buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang telah mengambil bahagian dan melibatkan seramai 250 orang pelajar terdiri dalam kalangan pelajar tingkatan satu hingga lima.

Turut hadir, adalah guru-guru pengiring bagi setiap sekolah masing-masing. Seramai 35 orang guru pengiring hadir dalam memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar mereka.

Aerofair-9616

Program yang mengambil masa selama sehari ini, berjalan dengan lancar atas semangat bekerja bersama-sama terdiri daripada sukarelawan dalam kalangan pelajar kejuruteraan aeroangkasa serta staf dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Mekanik.

 

Pengarah program Aerofair 2015, Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim berkata, tujuan utama pusat pengajian menganjurkan program tersebut adalah untuk menggalakkan sains dan kejuruteraan kepada sekolah-sekolah menengah melalui pelbagai aktiviti berasaskan disiplin kejuruteraan aeroangkasa.

Aerofair-9606

“Impak program ini diharap dapat menjana momentum ke arah mewujudkan program-program ilmiah lain yang dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)”, kata Zulfaa ketika ditemui selepas pelancaran pertandingan disini Sabtu yang lalu.

 

Tambah Zulfaa, banyak peluang yang belum dan boleh diterokai dalam bidang aeroangkasa berbanding bidang lain kerana imej aeroangkasa sebagai bidang berprofil tinggi serta merupakan peneraju utama teknologi masa depan.

Aerofair-9592

“Saya yakin kita mampu menjadi negara yang bagus dalam bidang aeroangkasa ini kerana ia merupakan satu-satunya bidang yang membawa manusia melangkaui batasan graviti”, katanya lagi.

 

“Apa yang membanggakan, program Aerofair pada kali ini adalah khusus kepada penerbangan dalaman atau indoor flight dan ini merupakan yang pertama kali diadakan dalam kalangan Universiti Awam di negara kita”, tambah Zulfaa yang juga merupakan Pengerusi Rancangan Kejuruteraan Aeroangkasa.

Aerofair-9596

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya (SMKPTJ), Butterworth talah diumumkan sebagai juara manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek (SMKT), Simpang Ampat selaku naib juara.

Tidak ketinggalan, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong (SMKSN), Nibong Tebal, berjaya menduduki tempat ketiga.

Aerofair-9832

Majlis telah diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan disempurnakan oleh Dr. Farzad Ismail, Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.  

Teks: Mohd Kamil Ashar & Suhaimi Shahidin / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin