Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

37 TAHUN MENABUR BAKTI, USM TETAP DIHATI

Naim 1455

NIBONG TEBAL, 10 Jun 2015 – Mohd. Naim bin  Abdullah, 58, memulakan kerjayanya sebagai Juruteknik di Pusat Pengajian Sains Gunaan, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 7 Ogos 1978 di Kampus  Induk.

Beliau yang bersara secara rasmi pada tanggal 8 Ogos 2015 berkata USM telah banyak meninggalkan pengalaman dan ilmu seterusnya membentuk keperibadian terhadap dirinya.

“Pada waktu itu hanya terdapat lebih kurang 15 orang pelajar, dua orang juruteknik dan dua orang pembantu makmal sahaja”, kata Mohd. Naim ketika memulakan bicara perjalanan beliau bersama USM.

 

Menurut Penolong Jurutera, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu, beliau telah melalui sebanyak tiga fasa perpindahan Kampus Kejuruteraan dari Kampus Induk ke Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh pada Mac 1986 dan sekali lagi berpindah ke Tronoh pada Disember 1990 sebelum kampus ini dipindahkan ke Nibong Tebal pada Mei  2001.

Naim 1458

Tambahnya, selama tempoh 37 tahun bersama pusat pengajian beliau sempat berkhidmat dengan tujuh orang Dekan dan salah seorang daripadanya adalah mantan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Mohd Muslim Mohd Yusoff.

Lebih manis lagi, beliau pernah memberi khidmat teknikal kepada pelajar-pelajar yang kini merupakan pensyarah di pusat pengajian tersebut. Antaranya ialah Profesor Dr. Mohd Zaid Abdullah,  Profesor Dr. Othman Sidek, Prof. Madya Dr. Soib Taib, Prof. Madya Dr. Nor Ashidi Mat Isa serta beberapa yang lain lagi.

“Saya pernah memberi khidmat teknikal kepada mereka di makmal dan saya bangga kerana sempat melihat kejayaan yang mereka kecapi malah ada yang masih mengenali dan menegur saya sekiranya bertemu di luar universiti”, ujarnya yang kini menetap di Bagan Serai, Perak.

Bercerita tentang kenangan manis dengan universiti, Mohd Naim berkata kenangan manis yang tidak dapat dilupakan adalah semasa berpeluang menjalani program staf sandaran di University of Bradford, United Kingdom selama tiga bulan bermula April 1989 hingga Julai 1989 dibawah tajaan British Council.

Ujar Mohd. Naim lagi, antara cabaran yang dihadapi dalam menjalani kehidupan sebagai Penolong Jurutera di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik adalah ketika menguruskan penempatan serta melayan karenah pelajar-pelajar Master dan Ph.D daripada  luar negara terutamanya dari negara-negara Arab.

Naim 1448

“Walau bagaimanapun, saya tetap sabar dan menganggap itu adalah sebagai satu proses pembelajaran dan mematangkan diri saya dalam memastikan proses pembelajaran dapat dilalui dalam keadaan harmoni dan adil”, kata Mohd. Naim meneruskan perbualan mengenai cabaran yang pernah dilaluinya.

Menjawab soalan mengenai perancangan selepas bersara, ujarnya ringkas, “saya nak rehat disamping melaksanakan tugas-tugas sebagai NGO”.

Beliau yang mempunyai lima orang anak dan lima cucu sangat aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan serta menjawat beberapa jawatan penting di peringkat daerah mahupun taman antaranya Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Penolong Setiausaha Surau Al-Faizin Taman Serai Permai, Pengerusi Tabika Perpaduan, Pengerusi Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Permai Bistari Bagan Serai dan Ahli Majlis Masyarakat Sivil Majlis Daerah Kerian.

Tegasnya, staf teknikal di USM perlu bersyukur dengan peluang yang diberikan dan bekerja bersungguh-sungguh demi menjayakan misi universiti.

“Bagi saya, USM adalah tempat yang paling sesuai untuk membina kehidupan dan keperibadian yang sempurna tetapi sudah sampai masanya untuk berundur dan beri peluang kepada generasi muda meneruskan perjuangan dan menimba pengalaman”.

“Walaupun saya akan bersara tidak lama lagi tetapi USM tetap di hati”,  kata Mohd. Naim mengakhiri perbualan.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin