Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENGARAH KAMPUS HARGAI PETUGAS AKTIVITI RAMADAN

Pusat Islam-20150623-WA0034

NIBONG TEBAL, 24 Jun 2015 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak menghargai warga kampus yang menjadi petugas dalam menyediakan juadah berbuka puasa di Pusat Islam sepanjang bulan ramadan tahun ini.

“Amalan bergotong royong seperti ini merupakan amalan yang sangat mulia dan perlu diteruskan”, katanya ketika bertemu dengan petugas MyPusat Islam, Kampus Kejuruteraan di sini semalam.

Dalam lawatan tidak rasmi itu, beliau turut meninjau Anjung Kulinari yang menjadi lokasi dalam menyediakan juadah untuk setiap jemaah yang hadir berbuka puasa di Pusat Islam.

Menurut Ketua Unit Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman, amalan bergotong-royong ini merupakan amalan tradisi di semua kampus USM dan ia dibuat dengan bantuan sukarelawan yang terdiri dalam kalangan staf dari pelbagai jabatan.

“Secara purata, sebanyak RM1,500 diperuntukkan untuk menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari kepada lebih 500 jemaah terdiri daripada pelajar dan staf sendiri”, katanya.

Pusat Islam - 20150623 144318

“Bulan ramadan merupakan bulan yang dituntut untuk kita memperbanyakkan sedekah dan untuk itu Pusat Islam menyediakan one stop centre di sini bagi memudahkan sesiapa sahaja yang berhajat untuk menyumbang apa jua dalam bentuk barangan”, katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan bagi menjayakan aktiviti ramadan supaya dapat berbuat demikian melalui potongan gaji atau terus ke Pusat lslam.

Selain dari menyediakan juadah berbuka, Pusat Islam turut mengedarkan sebanyak 300 bungkus bubur lambuk pada setiap hari selepas solat Asar kepada seluruh warga kampus .

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar