Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM JADI PUSAT KOORDINASI PROGRAM PERINGKAT KEBANGSAAN JBPM

bomba 153054

NIBONG TEBAL, 28 Julai 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menjadikan Kampus Kejuruteraan, USM Nibong Tebal sebagai pusat koordinasi Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2015 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bomba 151003Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata universiti sedia memberi kerjasama dan membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menjayakan program besar itu.

“Saya berharap pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan dan memenuhi kehendak walaupun tidak secara sepenuhnya”, kata Zainal semasa mempengerusikan Mesyuarat Akhir Bersama Pengarah Kampus Kejuruteraan dengan jabatan itu di sini semalam.

Dalam ucapan aluannya, beliau turut mengalukan kedatangan lebih 1000 peserta termasuk pegawai dan juri yang akan berkampung di dalam Kampus Kejuruteraan ini bermula 14 Ogos 2015 dan akan berakahir pada 20 Ogos 2015.

bomba 151045

Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan persiapan yang telah dibuat Jawatankuasa Universiti yang diketuai oleh Pegawai Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan iaitu Mohd Kamil Ashar dengan beberapa siri perbincangan dan lawatan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Kami berbangga kerana pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudi memilih Kampus Kejuruteraan USM sebagai lokasi utama program besar seperti ini dan mengharapkan supaya hubungan kerjasama tidak terhenti pada kali ini sahaja malah boleh diteruskan untuk program-program komuniti lain pada masa depan”, kata Zainal lagi.

Tegas beliau, jalinan kerjasama dan hubungan dengan pihak luar adalah merupakan agenda universiti dan ia selari dengan objektif APEX yang bukan sahaja melahirkan siswazah dan produk penyelidikan yang boleh dikomersialkan malah penglibatan komuniti untuk kesejahteraan dan kelangsungan masa hadapan.

bomba 151023

Yang hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pulau Pinang, Tuan Keya Nordin Said dan Ketua Zon 1 yang juga dari JBPM Pulau Pinang, Tuan Azman Ibrahim serta beberapa pegawai yang merupakan urus setia program.

Teks : Mohd Kamil Ashar / Foto : Suhaimi Shahidin