Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM DAN PROTON JALIN KERJASAMA

PROTON DSC0145

NIBONG TEBAL, 17 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan seramai 11 orang delegasi PROTON yang diketuai Profesornya, Dr. Shuhaimi Mansor di sini semalam.

Yang turut hadir sama  ialah Naib Presiden, Pejabat Inovasi, NANO Malaysia, Dr. Daniel Bien Chia Sheng dan pegawai-pegawai kanan NANO Malaysia serta dua orang wakil dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Dr. Nabilah Ramli dan Dr. Wan Wardatul Amani.

PROTON DSC0168Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan yang menyambut kunjungan delegasi itu berkata, lawatan tersebut memperlihatkan langkah kerjasama yang positif.

“Mereka mempunyai pelan tindakan sendiri dan sekarang lebih memahami keupayaan kita dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam kejuruteraan malah ICT,” katanya.

Menurut beliau, delegasi yang hadir menyatakan rasa kagum dengan kepakaran dan hasil penyelidikan para penyelidik USM.

Tambahnya, pihak PROTON turut menyatakan bahawa mereka akan datang semula ke USM dalam tempoh sebulan untuk perbincangan lanjut.

“Saya positif bahawa kerjasama antara kedua-dua pihak akan berlaku sama ada dalam skala besar atau pun bermula dengan skala kecil,” katanya lagi ketika ditemui selepas lawatan ke Makmal Penyelidikan Graphene yang diketuai oleh Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang makmalnya terletak di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

PROTON DSC0091Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata melalui perbincangan tersebut didapati bahawa kepakaran sedia ada di Kampus Kejuruteraan sememangnya dapat membantu dalam pelbagai keperluan PROTON.

Katanya, ini adalah peluang baik untuk memulakan nexus yang berpusat di Kampus Kejuruteraan.
 
“PROTON telah menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama dengan USM dan tindakan susulan serius akan dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, “selama ini, kekuatan Kampus Kejuruteraan banyak terletak kepada kekuatan pasukan yang berbentuk terasing, maka kini kita perlu berusaha kepada kekuatan rentas bidang pusat pengajian.”

Jelasnya, cabaran membawa USM menjadi sebuah universiti global memerlukan usaha penyelidikan yang tidak terkongkong dalam “silo” bidang dan pusat pengajian apatah lagi apabila pihak industri sudah menunggu hasil kita.

PROTON DSC0159Pada masa yang sama, Shuhaimi berkata, matlamat akhir kerjasama ini adalah untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan tersebut kepada produk dan kembali kepada pengguna.

Menurut beliau, kehadiran PROTON pada kali ini adalah lebih jelas dengan tiga misi iaitu mengenalpasti, kerjasama dan perlaksanaan.

“Kami tahu bahawa universiti mempunyai kepakaran dalam banyak bidang yang berkaitan dengan automotif dan apa yang kami ingin laksanakan adalah menggunakan sepenuhnya sumber yang ada di sini," jelas Shuhaimi.

Shuhaimi berharap dengan adanya teknologi dan pelan tindakan ini, PROTON dan USM boleh melakukan sesuatu yang membanggakan.

Menerusi misi itu, PROTON telah berkongsi hala tuju teknologi yang mereka ingin perkenalkan di dalam keluaran kereta-kereta pada masa hadapan untuk memastikan model-model PROTON lebih berdaya saing.

Yang hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Dekan-Dekan Pusat Pengajian, Pengarah-Pengarah Pusat Kecemerlangan dan pensyarah-pensyarah USM yang terlibat dalam penyelidikan yang berkaitan dengan kejuruteraan automotif.

PROTON DSC0096

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin