Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MENGOPTIMUM SUMBER KEJURUTERAAN JAYAKAN TRANSFORMASI USM

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1331

NIBONG TEBAL, 28 Januari 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada termasuk dalam pelbagai bidang kejuruteraan sebagai sebahagian usaha mentransformasi universiti menjayakan APEX 2020.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, ini termasuklah meningkatkan usaha penjanaan kewangan yang lebih lestari dalam menjayakan perancangan yang ada.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1387

Bercakap kepada warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dalam lawatan sehari ke Kampus Kejuruteraan beliau berkata, terdapat pelbagai sumber yang boleh dijana dari Kampus Kejuruteraan untuk menambah pendapatan kepada universiti.

“Apatah lagi, kita mempunyai banyak kepakaran, produk penyelidikan dan kemudahan yang belum dioptimumkan penggunaannya”, katanya lagi.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1373

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata lawatan Naib Canselor tersebut  memberi makna yang besar khususnya kepada warga kampus.

“Melalui sesi hari ini, padanan sinergistik antara idea dari kampus kejuruteraan dan pandangan pengurusan tertinggi universiti dapat disatukan. Kita lebih bersedia untuk mencadang dan melaksanakan strategi meningkatkan kecemerlangan universiti walaupun terdapat kekangan dan cabaran yang besar bermula tahun 2016 ini”, kata Ahmad Farhan.

Beliau dalam rangka lawatan 100 hari pertama ke semua Pusat Tanggungjawab di Kampus Kejuruteraan untuk mengenal pasti isu kritikal dan mengenali lebih dekat peranan dan tanggungjawab jabatan seterusnya akan menyusun strategi supaya ianya selari dengan misi dan visi universiti.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1113

Naib Canselor turut melawat beberapa makmal yang berupaya menjana kewangan kepada  universiti termasuk Makmal Underwater, Control & Robotic Group (URRG) yang diketuai Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik manakala Makmal Penyelidikan Graphene yang diketuai oleh Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang makmalnya terletak di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1432Turut mendapat perhatian Naib Canselor adalah Makmal Biotenaga di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik yang diketuai oleh Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin yang mendapat perhatian media baru-baru ini dengan hasil penyelidikannya Kitchen Waste Carbonizer (KWC) atau pengkarbon sisa buangan dapur dengan memberi penyelesaian dalam melupuskan sisa domestik dengan efisien.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1310

Naib Canselor juga melawat makmal yang telah melahirkan penyelidik yang banyak menyumbang kepada pengiktirafan universiti iaitu Profesor Dr. Bassim H. Hameed di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang juga diiktiraf sebagai The World’s Most Influential Scientific Minds 2015 baru-baru ini serta singgah di beberapa buah makmal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang telah berjaya menghasilkan dapatan tertinggi melalui kerja ujian makmal dengan pihak luar.

MENGOPTIMUM SUMBER DSC1376

Yang turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Pendaftar, USM Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Dr. Musa Ali, Pengarah Pengurusan Canselori, Hj. Mohd Saad Hj. Din dan Ketua Pegawai Pembangunan Arman Abdul Razak.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad