Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM DIDIK 43 KELUARGA ORANG ASLI KAMPUNG LANGKOR

IMG 425565

SUNGAI SIPUT, 31 Januari 2016 - Perasaan bersyukur dan berterima kasih yang teramat oleh penduduk orang asli Kampung Langkor, Sungai Siput (U) Perak tidak dapat disembunyikan tatkala menerima kunjungan oleh delegasi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Demikian perasaan yang digambarkan oleh Tok Ketua Kampung Langkor, Hashim Alang yang menerima kehadiran delegasi ini dan turut dimeriahkan dengan kehadiran pertama kali delegasi dari Lembaga Air Perak (LAP) dan juga Orang Besar Jajahan Kerian YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato' Haji Meor Redwan Mahayudin ke kawasan ini.

IMG 427568

Menurut Hashim, kehadiran delegasi dari USM sejak projek air bersih ini bermula dari tahun 2012 yang lalu amatlah dihargai dan dinanti-nantikan sambutannya setiap kali delegasi ini menjejakkan kaki ke kampung yang mempunyai 43 keluarga ini.

"Saya mewakili semua penduduk amat berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada USM dan juga pihak-pihak lain yang terlibat dalam projek ini dan ianya memberi manfaat dan telah mengubah kehidupan kami semua menjadi lebih baik dan sempurna," katanya.

Penduduk Kampung Langkor yang seramai 180 orang kebanyakannya menampung kos perbelanjaan kehidupan harian dengan bekerja di estet-estet berhampiran dan menerima gaji harian sebanyak RM34.60 dengan waktu bekerja dari 7.00pagi hingga 1.00petang.

IMG 428790

IMG 429097

IMG 4295568

Tambahnya, dengan adanya bekalan air bersih ini, penghuni 11 rumah batu dan 21 rumah papan ini dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah dan program hari ini yang diaturkan juga amatlah terancang dan sedikit sebanyak memberi ilmu dalam meneruskan kehidupan ini secara lestari.

"Saya juga telah menyediakan beberapa pasukan untuk melakukan pemantauan secara harian dan mingguan bagi memastikan tempat empangan air ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik serta saya juga meminta ahli pasukan ini untuk membersihkan kawasan tersebut agar ianya terus terpelihara.

"Aktiviti mendidik dan praktikal kaedah penyelenggaraan sistem bekalan air dan pemasangan paip hari ini merupakan antara ilmu baru yang kami pelajari serta ianya telah memberi kami satu pengalaman untuk terus berdikari di sini kelak," ujarnya yang telah berada di kampung ini lebih dari 20 tahun.

Beliau juga mencadangkan agar pihak USM terus menerus membantu dan memberi sumbangan sebegini kepada penduduk Kampung Langkor kerana rata-rata penduduk kampung ini melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menerima bantuan sebegini yang amat mereka nanti-nantikan.

IMG 429287

IMG 426470

Antara program seharian yang diadakan adalah ceramah berkenaan air bersih, ceramah kesihatan, ceramah agama dan praktikal pemasangan paip oleh staf-staf dari Kampus Kejuruteraan USM.

Program ini diterajui oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM dan dibiayai oleh Pusat Transformasi Universiti-Komuniti (UCTC) dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan dianjurkan bersama USM, Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Air Perak (LAP).

Yang turut hadir ke program ini ialah Pengurus Besar Lembaga Air Perak Dato' Ir. Mohd Yusof Mohd Isa, Penolong Naib Canselor USM Prof. Dr. Ahmad Farhan Sadullah, pegawai-pegawai LAP dan juga USM.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohd Fairus Md Isa