Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM CHARITY CHINESE CULTURAL NIGHT BERJAYA KUMPUL RM5,200

CCCN DSC5748

NIBONG TEBAL, 18 April 2015 – Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui “Charity Chinese Cultural Night 2016” semalam berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM5,200, iaitu RM1,000 meningkat  berbanding tahun lalu.

Dana tersebut dikumpul melalui penjualan tiket persembahan pada malam itu dan sumbangan daripada industri serta sewaan tapak jualan kepada pengusaha trak makanan.

CCCN DSC5367

Dalam acara kemuncak semalam, Penasihat, Persatuan Bahasa Tionghua, Profesor Madya Dr. Cheong Kok Keong berkata beliau sangat menyokong program tersebut kerana ia sangat berkesan dalam menyebarkan kasih sayang selain menuju ke arah melakukan perkara-perkara yang betul untuk membuat perubahan dalam masyarakat.

“Salah satu daripada teras utama dalam memenuhi kehidupan masyarakat adalah saling bantu-membantu antara satu sama lain”, katanya.

CCCN DSC5441Pengarah Projek, Tan Joo Kean (kiri) dan Profesor Madya Dr. Cheong Kok Keong

Menurutnya lagi, ia merupakan salah satu usaha untuk merapatkan masyarakat di sekeliling Kampus Kejuruteraan dengan warga universiti khususnya para pelajar.

“Ini merupakan platform yang sangat sesuai dalam menggilap kemahiran insaniah para pelajar sejajar dengan tujuh bidang teras dalam membentuk pelajar universiti APEX”, tambah Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Siswazah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Awam itu.

CCCN DSC5523

Katanya, pendedahan dan ruang perlu diberikan kepada mereka yang mana dapat meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan seterusnya menarik lebih ramai orang untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja amal.

Sementara itu, Pengarah Projek, Tan Joo Kean berkata program dengan tema “Ju Qi Cheng” yang membawa maksud berkumpul, bermula dan berwaris ini bukan sahaja bertujuan mempromosi tradisi dan budaya Cina malah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebajikan golongan orang kurang berupaya.

CCCN DSC5574

“Budaya merupakan identiti sesebuah masyarakat dalam sesebuah negara dan kita bertanggungjawab untuk memelihara keunikan budaya dan tradisi yang diwarisi secara turun temurun dari nenek moyang kita”, kata Joo Kean.

Program yang bermula sejak tahun 2012 itu turut berjaya menarik ramai industri dan peniaga luar dalam menyumbang kepada yang memerlukan. Antara yang menyumbang adalah K-Garden Hotel dan United Sweethearts Garment dalam kategori Gold Sponsor, Chang Jiang White Coffee bagi kategori Silver Sponsor dan Rice Bowl bagi Bronze Sponsor.

CCCN DSC5627

Pada malam itu, dua pusat kebajikan yang dipilih menerima sumbangan adalah Crystal Home dan Penang Lotus Society Hospice of Compassion yang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM2,600.

Yang hadir sama dalam majlis itu ialah Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Pulau Pinang, Loo Jieh Sheng mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mah Siew Keong, Penasihat, Persatuan Bahasa Tionghua, Khor Gek Suan dan Ketua Unit, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Nur Akmar Idris.

CCCN DSC5700
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin