Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

HIDUPKAN SUASANA MENJELANG RAMADAN

Mahrajan DSC6296

NIBONG TEBAL, 28 April 2016 – Kedatangan bulan ramadan al-mubarak amat dinantikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini dalam mencari keredaan Allah SWT dengan merebut tawaran istimewa yang dijanjikan seperti dalam Al-Quran.

Demi menghidupkan suasana menjelang bulan keberkatan ini, Pusat Islam dan Persatuan Hal Ehwal Wanita, Kampus Kejuruteraan (HELWA), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan karnival atau “Mahrajan Ahlan Ya Ramadan” dengan pelbagai pengisian program ilmu dan aktiviti menarik termasuk pertandingan acara sukan.

Mahrajan DSC6193

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu, melabuh tirainya pada hari ini dengan “Seminar Pasca Alam Perkahwinan Siri 2” yang dihadiri penceramah hebat seperti Ketua Unit Operasi Khas, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Ustaz Mohd Fawwaz Mat Jan, Peguam Syar’ei, Tuan Ahmad Munawir Abdul Aziz dan Pensyarah, Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), Ustazah Che Nazrah Yusof.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh berkata program yang diadakan memberi fokus kearah kedatangan ramadan dengan pelbagai program demi menyemarakkan Pusat Islam sebagai tempat tumpuan dan destinasi pilihan pada bulan ramadan dalam menunaikan ibadah.

Mahrajan DSC6285

“Program yang bertemakan kesihatan  dan kekeluargaan ini diharap dapat menghidupkan suasana bulan keberkatan dan menambahkan keimanan kita menjelang ramadan tidak lama lagi”, kata Muhammad Idiris dalam ucapan aluan sempena Majlis Pelancaran Ahlan Ya Ramadan di sini petang tadi.

Menurutnya lagi, semangat berinfak bukan sahaja perlu ada dalam bulan ramadan tetapi juga perlu ditanam dan dilaksanakan secara berterusan.

“Pusat Islam memerlukan komitmen dan sokongan dari semua pihak khususnya warga Kampus Kejuruteraan dalam melaksanakan program sepanjang bulan ramadan secara bersama”, tambahnya.

Mahrajan DSC6200

Tegas mantan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi itu, “Nilai kebersamaan dan suasana penuh kekeluargaan dalam melaksanakan ibadah pasti mendapat keredaan seterusnya menjadikan ramadan pada kali ini lebih baik dari yang sebelumnya”.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata program tersebut berjaya menghimpunkan pelbagai aktiviti dalam satu masa yang singkat tetapi cukup holistik dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan.

Mahrajan DSC6252

“Saya lihat, program yang dianjurkan oleh Pusat Islam dengan kerjasama HELWA dan Pusat Sukan serta jabatan lain yang terlibat ini merangkumi aspek sentuhan rohani, santapan jasmani dan aktiviti bersukan”, katanya lagi.

“Ini menunjukkan bahawa Islam itu adalah satu kehidupan”, tegasnya dalam ucapan perasmian program.

Mahrajan DSC6308

Jelas Ahmad Farhan, program seperti itu berjaya menarik dan mampu menjadi nukleus serta membawa masyarakat kampus bersama-sama memacu kecemerlangan Universiti.

Mahrajan DSC6071

Antara program pengisian ilmu yang diadakan adalah ceramah kesihatan “Bersama Pakar Jantung, Demi Kesihatan Rohani” dengan tajuk Sayangi Jantung Demi Ramadan disampaikan oleh alumni USM iaitu Dr. Safari Elis dari Hospital KPJ, Cawangan Perda, Pulau Pinang dan Cegah Kanser Melalui Ramadan oleh Dr. Azman Seeni daripada Institut Perubatan Pergigian Termaju (IPPT), Bertam.

Mahrajan DSC5966

Turut mendapat sambutan ialah pertandingan bakat KAFA, jom memanah, fiesta ping pong berbekam dan program derma darah.

Kemeriahan sambutan kedatangan penghulu segala bulan ini tidak terhenti disitu sahaja dimana pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan malam puisi kerohanian dengan kehadiran kumpulan nasyid Devootes, Zulfan, Farhan dan program munajat perdana.

Mahrajan DSC6015

Dalam acara kemuncak iaitu “Lantunan Mahabbah Pusat Islam Berselawat” dijangka akan dibanjiri oleh warga kampus yang menanti saatnya pada malam ini dengan diketuai oleh kumpulan Qasidah Ibnu Sina.

Sebelum itu, gimik pelancaran telah disempurnakan oleh kedua tetamu kehormat dengan menggunting poster pelancaran “Ahlan Ya Ramadan”.

Mahrajan DSC6311Dari kiri : Prof. Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Prof. Dr. Azlina Harun

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) yang juga merupakan Pengerusi, Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan Timbalan Pengarah Pusat Islam, USM,  Haji Md Yusof Abdul Rahim.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin