Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KPZ HAMSTER KEKAL JUARA RAGBI USM 10’S 2016

ragbi DSC6984

NIBONG TEBAL, 1 Mei 2016 – KPZ Hamster membuktikan mereka masih lagi sukar ditandingi apabila mengekalkan kejuaraan di kejohanan Ragbi USM 10’s edisi ke-12 selepas menewaskan Rhino Emphire 28-0 dalam perlawanan akhir di sini semalam.

KPZ merupakan juara dua tahun berturut mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mendapatkan empat try dan menyempurnakan kesemua tendangan manakala Rhino berputih mata menerima kekalahan tanpa sebarang mata.

Dengan kemenangan itu, telah berjaya melayakkan mereka membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM2,000 manakala naib juara sebanyak RM1,300 serta masing-masing turut membawa pingat serta barangan tajaan Redbull.

Lebih manis, pemain KPZ Hamster, Mohd Nor Azri turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dengan membawa hadiah berupa plak beserta hadiah sumbangan Kelab Ragbi Phantom Kampus Kejuruteraan, USM.
 
ragbi DSC6607

Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kejohanan tersebut merupakan satu kejayaan yang boleh dijadikan sebagai satu flag ship kampus dan menjadi kebanggaan Universiti.

Malah Ahmad Farhan turut mengesyorkan supaya penganjur dapat melebarkan lebih banyak penyertaan bukan sahaja dalam negara tetapi juga kepada pasukan antarabangsa.

“Kita percaya bahawa kita boleh membawa pasukan yang lebih ramai supaya peserta dapat bertanding dan bersaing dengan pasukan-pasukan yang hebat dari dalam mahupun luar negara”, katanya ketika ucapan penutup kejohanan di Padang Kompleks Sukan, Kampus Kejuruteraan, USM.

Tegasnya, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan kerana ia telah terbukti dengan kejohanan hoki yang dianjurkan saban tahun di Kampus Induk.

ragbi DSC6503dari kiri : Prof. Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Mohamad Harith Yaacob Said, Mohd Rashid Abdul Rejab & Subli Yop

Beliau yang hadir bersama isteri, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang juga Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia turut mengucapkan tahniah kepada penganjur iaitu Kelab Ragbi USM, Kampus Kejuruteraan dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya menganjurkan kejohanan walaupun berada dalam situasi kekangan kewangan.  

“In Shaa Allah, pada tahun hadapan kita akan cuba untuk menyediakan prasarana yang lebih baik dan menjadikan kejohanan ini lebih meriah serta boleh dibanggakan oleh semua pihak”, tambahnya lagi.

Sementara itu, menurut Pengarah Projek, Mohamad Harith Yaacob Said berkata, kejohanan seperti ini merupakan satu langkah yang baik bagi barisan mahasiswa untuk terus aktif dalam bidang sukan.

ragbi DSC6545

“Kejohanan ini merupakan platform yang sesuai dalam melahirkan pemain-pemain ragbi yang berpotensi untuk mewakili setiap Universiti dan kelab masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak mustahil dapat melahirkan pemain yang dapat mewakili Malaysia”, kata Harith.

Beliau juga dalam temubual ringkas selepas kejohanan mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran kejohanan yang berlangsung dengan jayanya dan juga ucapan terima kasih kepada pihak penaja utama iaitu Kelab Sukan Viking TJ  dan RedBull Malaysia.

Sebanyak 32 buah pasukan menyertai kejohanan bagi tiga kategori iaitu kategori bowl, plate dan cup dari seluruh negara.

ragbi DSC6673

Kejohanan Ragbi USM 10’s yang merupakan acara wajib setiap tahun di Kampus Kejuruteraan USM ini dikendalikan sepenuhnya oleh 52 ahli jawatankuasa projek termasuk sukarelawan dengan 13 pengadil Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan turut dibantu oleh Bahagian Hal Elwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Unit Kesihatan, Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan serta Desasiswa.

Yang hadir sama dalam majlis itu, Ketua Pengadil  dari Kesatuan Ragbi Malaysia, Lt. Kol (B) Omar Mohamed, Pakar Operasi Lapangan, Redbull Malaysia, Miss Marilyn, Ketua Penolong Pendaftar, Unit Pembangunan Operasi, Jabatan Pendatar, USM, Mohd. Rashid Abd. Rejab dan Pegawai Belia dan Sukan Kanan, USM, Subli Yop.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin