Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM, UTM PERKASA KLUSTER KESELAMATAN AIR

water FILE0678

NIBONG TEBAL, 10 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerjasama erat dalam memperkasakan Kluster Keselamatan Air dalam memastikan masyarakat dapat menerima bekalan air yang mencukupi dan berkualiti.

Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata Persidangan Keselamatan Air (WSC’16) yang julung kali diadakan di USM ini, bukan sahaja dapat menyatukan pakar-pakar dalam bidang tersebut malah merangka perkara-perkara yang kritikal dan penting tentang perbincangan isu keselamatan air.

water FILE0649Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

“Air merupakan sumber yang sangat berharga dikurniakan Yang Maha Esa kepada kita dan kita haruslah menghargainya”, tegas Ahmad Farhan dalam ucapan perasmian persidangan di sini hari ini.

“Kita mempunyai jurutera dan penyelidik yang arif dari sudut teknikal dalam memastikan bekalan air kita mencukupi seterusnya mencapai sasaran wawasan 2020 iaitu menyediakan air yang berkualiti”, katanya lagi.

water FILE0648

Tambahnya, hasil perbincangan selama dua hari itu diharap dapat memberikan impak dan halatuju serta kaedah baru yang lebih efisyen dalam mengatasi isu air negara yang akhirnya akan sampai kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut berbangga dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM yang merupakan peneraju utama kluster keselamatan air dan telah banyak melaksanakan program-program berbentuk khidmat masyarakat berasaskan penyediaan air bersih.

water FILE0709

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air, Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa, Pengarah Kanan, Institut Ibnu Sina, UTM, Profesor Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff, Ketua Projek Kluster Keselamatan Air, Profesor Ir. Dr. Nordin Adlan dan Timbalan Pengarah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Khithob Ahmad.

Mengulas lanjut tentang masalah air yang melanda negara akibat kesan El Nino baru-baru ini, Jaseni berkata, musim kemarau kini menjadi lebih lama berbanding sebelumnya yang mana dikesan sejak tahun 2014 lagi.

Katanya, terdapat perbezaan terhadap kesan perubahan iklim pada masa kini di mana musim kemarau boleh menjangkau sehingga tiga bulan lebih dan menyebabkan kesan kepada pengurusan air negara.

Water FILE0714

“Jika pada masa dahulu, kita membina empangan mengikut sejarah ataupun standard British tetapi sekarang tidak lagi, kerana kita perlu melihat dalam bentuk yang lebih besar dan mungkin perlu melebihi 180 hari”, katanya dalam sesi sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hujan yang banyak sehingga 2500 ke 3000 milimeter air hujan setahun dan ia mencukupi untuk menampung bekalan selama tempoh musim kemarau.

Menurutnya lagi, air hujan tersebut perlu disimpan di satu tempat yang selamat iaitu empangan yang lebih besar dan sesuai dengan keadaan sekarang.

“Isunya sekarang ini, adakah empangan di negara kita sekarang sudah cukup untuk menampung simpanan air tersebut”, soalnya kepada pemberita.

Water FILE0692

Persidangan selama dua hari itu turut mendapat penyertaan daripada Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Badan Kawal Selia Air Melaka, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Suruhjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad