Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KOSISWA BAWA PULANG RM10,000

NIBONG TEBAL, 8 Mei 2016 – Koperasi Siswa USM Kejuruteraan Nibong Tebal Berhad (KOSISWA) berjaya membawa pulang RM10,000 sebagai modal awal setelah memenangi peringkat saringan semasa pertandingan High Performing Student Cooperatives yang diadakan di Hotel Tabung Haji Kelana, Selangor baru-baru ini.

Pertandingan yang dianjurkan pada 6 hingga 8 Mei 2016 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan kerjasama Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) turut disertai oleh kebanyakkan pertubuhan koperasi dari seluruh Malaysia seperti dari koperasi UNIMAS, Lahad Datu, IKBN, UITM dan beberapa lagi yang lain.

KOSISWA telah menghantar tiga penyertaan melalui youtube berdurasi dua minit dan dinilai oleh panel juri untuk melayakkan mereka  menyertai program Business Design Workshop (BDW) yang wajib dihadiri sebagai salah satu syarat penilaian.

Hanya dua projek layak ke peringkat saringan kedua iaitu Brainy Choco Moo dan Functional Coffee.

Brainy Choco Moo merupakan salah satu projek yang berjaya di pilih untuk meneruskan perjuangan ke peringkat separuh akhir daripada 79 projek dipertandingkan yang dinilai melalui Business Pitching.

Hanya 30 projek sahaja layak ke peringkat separuh akhir serta berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 sebagai modal awal.

Antara koperasi lain yang menyertai pertandingan adalah Ez-Pump dari Koperasi KV Betong Berhad, Shawl dari Koperasi Siswa UKM Berhad, D’paletto dari Koperasi KV Dato Lela Maharaja Rembau Berhad, Jem Halia dari Koperasi Kolej Komuniti Sabak Bernam Berhad, Lemang Rotator dari Koperasi IKBN Bukit Mertajam Berhad serta banyak lagi.

(Teks asal ditulis oleh Pegawai Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli)

Teks di olah oleh Norafiza Osman / Foto Ihsan: Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli