Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PAKEJ RAMADAN MADRASAH LATIHAN UMAT ISLAM

Pakej Ramadan DSC8926

NIBONG TEBAL, 19 Ogos 2016 – Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita 14 hari yang lalu dan sambutan Aidilfitri dengan rumah terbuka terus meriah di sana sini.

Tidak ketinggalan, Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengadakan rumah terbuka buat seluruh warga kampus dan masyarakat sekitar.

Pakej Ramadan DSC8922

Penceramah jemputan iaitu Ustaz Roslan Che Ros dalam menyampaikan tazkirahnya berkata Ramadan merupakan madrasah latihan kepada seluruh umat Islam tanpa mengira kedudukan mahupun darjat.

“Sebenarnya, inilah penanda aras orang Mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak”, kata Roslan.

Antara sifat yang ditinggalkan dalam madrasah Ramadan adalah sifat sabar.

Pakej Ramadan DSC8936

“Biarlah Ramadan meninggalkan kita dengan tarbiyah sabar dan Aidilfitri merupakan kejayaan kita kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia dengan menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT”, nasihat penceramah yang tidak asing lagi dalam negara kita ini.

Sementara itu, Pengerusi, Kelab Sukan dan Kebajikan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang mewakili Penolong Naib Canselor berkata antara perkara yang baik diperolehi dari Ramadan adalah tuntutan dalam menguruskan masa.

Beliau turut menyentuh mengenai persediaan sebelum berjumpa dengan pencipta iaitu Allah SWT dan sentiasa berbuat baik sesama manusia.

Pakej Ramadan DSC8938

“Adakah cukup agaknya amalan kita telah buat untuk memasuki syurga yang telah dijanjikan oleh Allah”, ujar Nor Azazi yang juga Pengarah, Pusat Penyelidikan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).

Program yang berlangsung di Ruang Legar, Pusat Islam itu merupakan program tradisi bagi menghargai dan meraikan Ahli Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Peringkat Kampus Kejuruteraan, diatas kejayaan memastikan kelancaran program sepanjang Ramadan dan sebagai tanda terima kasih kepada seluruh warga kampus yang memberi sokongan kepada Pusat Islam.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malasysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin dan Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Profesor Dr. Aminuddin Ab. Ghani.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad