Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

REDAC BAKAL BERPINDAH KE BANGUNAN BARU

REDAC DSC9659

NIBONG TEBAL, 4 Ogos 2016 – Pusat Penyelidikan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) bakal berpindah ke bangunan baru yang terletak di kawasan Ruang Penyelidikan Bersepadu (RPS), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak lama lagi.

Projek naik taraf Bangunan Ruang Gunasama kepada Pusat Penyelidikan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) itu telah siap sepenuhnya pada  4 Julai 2016 dengan kos mencecah RM1.146 juta.

Majlis ringkas penyerahan kunci sebagai simbolik penerimaan bangunan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan, Kampus Kejuruteraan, Hj. Hamdan Mohd Hassan kepada Pengarah, REDAC, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria di sini semalam.

Menurut Hamdan, projek tersebut akhirnya dapat disiapkan walaupun terpaksa menghadapi kesukaran pada peringkat awal.

REDAC DSC9604

“Ribuan terima kasih kepada pasukan projek terdiri daripada Jabatan Pembangunan, Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT), kontraktor, REDAC dan semua pihak yang telah bekerjasama dan berjaya menyiapkan projek ini”, ulas Hamdan dalam ucapan ringkasnya.

Dalam majlis yang sama, Nor Azazi berkata, pihaknya amat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan Universiti yang telah bersetuju menyerahkan bangunan tersebut kepada REDAC.

“Setelah 15 tahun ditubuhkan dan akhirnya kita dapat bangunan yang sesuai untuk meneruskan penyelidikan dan seterusnya kecemerlangan dalam bidang sungai dan saliran ini”, katanya.

Kata Nor Azazi, bangunan yang pada asalnya adalah untuk ruang gunasama kini menjadi tempat yang sesuai untuk mereka menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pihaknya menjangkakan akan berpindah sepenuhnya setelah rangkaian IT dapat disiapkan tidak lama lagi.

REDAC DSC9636

“REDAC telah menjadi pusat sehenti pertama di sini dan walaupun kita bermula dari bottom-up tetapi kini REDAC merupakan Pusat Kecemerlngan (CoE) pertama di Kampus Kejuruteraan malah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) teras perkhidmatan pertama di Malaysia”, katanya lagi.

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan bangunan tersebut ialah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad dan Ahli Lembaga REDAC, Profesor Dr. Chan Ngai Weng.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Faisal Mohamad