Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

GETARAN TINGGI MESIN BOLEH ROSAKKAN SARAF

ZAIDI 0223

NIBONG TEBAL, 19 Ogos 2016 - Industri mekanikal yang melibatkan penggunaan paras getaran yang tinggi boleh merosakkan saraf manusia jika ia tidak ditangani.

Pekerja atau pengguna yang terdedah kepada pengendalian mesin atau jentera yang mempunyai paras getaran yang tinggi terdedah kepada risiko kerosakan saraf tangan.

Pensyarah yang juga penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zaidi Mohd Ripin berkata antara contoh mesin yang dikenali umum terdedah risiko besar kerosakan saraf adalah mesin rumput.

IMG 8539Zaidi 8539

"Tempoh penggunaan selamat mesin ini adalah sekitar 30 minit sehari, namun kebanyakan pengendali menggunakannya lebih daripada 5 jam sehari," kata Zaidi.

Zaidi, 50, menambah ini cukup berbahaya kepada tubuh badan terutamanya membabitkan kerosakan saraf tangan pengendali mesin terutamanya simptom Parkinson.

Beliau yang pakar dalam bidang getaran dan tribologi menambah, atas sebab itu saya menjalankan penyelidikan lebih 7 tahun yang membawa kepada beberapa penemuan bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

"Penghasilan sistem ampaian merupakan salah satu penemuan yang memberikan kemudahan dan keselamatan buat pengguna mesin terbabit."

Zaidi IMG 8553

Katanya lagi, melalui sistem ampaian tersebut ia dapat mengurangkan paras getaran sehingga 80 peratus getaran.

Beliau mengulas lanjut di majlis Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Auditorium, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Kejuruteraan USM hari ini bertajuk "Geseran dan Getaran yang Menggusarkan".

Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri Datin Dr. Aishah Knight; Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM, Prof. Dr. Lee Keat Teong; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal USM, Prof. Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin dan pegawai-pegawai utama universiti.

Selain itu, syarahan beliau turut menerangkan impak buruk yang lain pada kesihatan manusia akibat getaran dan geseran tinggi dalam kehidupan.

Zaidi IMG 8573

"Penyelidikan getaran dan geseran di Malaysia perlu diperluaskan lagi memandangkan Malaysia belum ada peraturan khusus yang mewajibkan pengilang melabelkan paras bunyi dan getaran supaya pengguna boleh memilih produk dengan lebih selamat," kata Zaidi.

Teks: Mohd. Azrul Mohd. Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa