Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PELAJAR ANTARABANGSA TERUJA SAMBUNG PENGAJIAN DI USM

pelajar antarabangsa DSC0774

NIBONG TEBAL, 29 Ogos 2016 – Tiga daripada lima pelajar antarabangsa yang mendaftar diri sebagai pelajar kejuruteraan teruja untuk menyambung pengajian di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Tiga pelajar itu, Abdelrahman Abdelaziz, 21, Abdelrahman Tarek Ismail, 18 dan Osama Mohamned Ajlan, 21 antara 22 pelajar antarabangsa yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) di kampus ini.

Abdelrahman Abdelaziz dan Abdelrahman Tarek Ismail yang berasal dari Egypt itu memilih menyambung pengajian dalam bidang yang sama iaitu bidang kejuruteraan aeroangkasa manakala Osama Mohamned Ajlan berasal dari Yamen, bidang kejuruteraan mekatronik.

Menurut Abdelrahman Abdelaziz, impiannya untuk menyambung pengajian dalam bidang aeroangkasa telah bermula sejak beliau masih berada di zaman kanak-kanak lagi.

“Saya telah menamatkan pengajian di Cairo University, Egypt selama dua tahun sebelum ini dan telah menanam hasrat untuk melengkapkan pengajian ini di peringkat yang lebih tinggi diluar dari negara saya dan saya memilih USM sebagai destinasi tersebut”, katanya.

Tambahnya, beliau telah pun datang melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM sebelum ini dan mendapati ia memenuhi keperluan bagi seseorang pelajar dalam mendalami ilmu kejuruteraan aeroangkasa.

“Saya lihat, kemudahan dan kaedah pengajian dan pembelajaran di sini, cukup memuaskan dan mempunyai teknologi yang tinggi berbanding dengan Universiti lain yang pernah saya kunjungi”, katanya lagi.

Berlainan pula dengan rakan beliau, Abdelrahman Tarek Ismail dengan hanya membuat sedikit penyelidikan melalui internet dan pertanyaan kepada guru-guru mendapati bidang kejuruteraan di Universiti Sains Malaysia berada di tahap 100 terbaik di dunia.   

“Saya sangat yakin saya telah membuat pilihan yang tepat kerana tidak semua Universiti mampu untuk mengajar bidang berteknologi tinggi seperti aerongkasa ini”, kata Abdelrahman Tarek Ismail.

Bagi Osama Mohamned Ajlan, beliau telah datang seorang diri ke Malaysia sejak lapan bulan yang lalu dengan menyewa bilik di Kuala Lumpur untuk mengetahui dan mendalami cara hidup masyarakat kita di sini.

Katanya, beliau sangat tertarik dengan keamanan dan keramahan penduduk negara ini yang berbilang kaum dan dapat hidup sejahtera serta harmoni.

“Sebenarnya bidang mekatronik telah lama bertapak di USM ini iaitu sejak tahun 2002 lagi, jadi ini telah membuktikan bahawa pasti pengajian dan pembelajarannya lebih baik berbanding negara saya yang baru sahaja berjinak-jinak untuk menawarkan pengajian dalam bidang ini”, kata pelajar bersusuk tubuh halus itu.

“Negara Malaysia adalah sebuah negara yang sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi pembelajaran dalam banyak bidang dan kenapa saya katakan begitu, adalah kerana negara yang dari tiada apa-apa kini telah maju dan kini lebih baik dalam pelbagai aspek”, tambahnya lagi.

“Saya merasa bangga untuk berada di sini dan semoga berjaya kepada semua rakan-rakan”.

pelajar antarabangsa DSC0725
Jayanthan A/L Illannggovan (tengah)

Sementara itu, turut teruja menjadi antara 489 pelajar yang mendaftar semalam adalah Jayanthan A/L Illannggovan, 19 yang mengidap penyakit Haemophilia B sejak dari kecil lagi.

Anak kepada seorang pemandu lori, kelahiran Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan itu begitu bersemangat dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera yang hebat suatu hari nanti.

Beliau merupakan pelajar cemerlang semasa berada di Kolej Matrikulasi Teknikal, Johor dan dengan berbekalkan keputusan CGPA 4.00 dalam jurusan elektrik dan elektronik telah diterima menjadi mengikuti pengajian di sini.

Minat yang mendalam dalam bidang mekanikal telah membuatkan dirinya sangat gembira untuk menyambung pangajian disini yang juga mendapat tawaran dalam jurusan elektrik dan elektronik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ditanya kepada bapanya, Illanggovam A/L Ramaya, 51, tiada rahsia dalam mendidik anaknya cuma beliau akan menurut segala permintaan anak sulong dari tiga beradik itu.

“Apa yang diminta saya akan penuhi dan buat sekadar yang mampu”, kata Illanggovan.

Walaupun begitu, beliau berkata anaknya memang mempunyai minat dalam pelajaran sejak dari kecil lagi tanpa memerlukan sebarang arahan dalam hal pembelajaran.

“Saya telah jangka dia mampu lakukannya kerana sejak dari darjah satu sehingga tingkatan lima, Jayanthan sering kali mendapat markah penuh seratus peratus dalam matapelajaran matematik dan sains”, katanya lagi.

“Saya juga selalu menasihati dia supaya jangan malu untuk bertanya kepada guru sekiranya ada yang tidak faham dan ini telah menjadi amalan dia sehinggalah ke peringkat matrikulasi”, jelasnya mengenai Jayanthan.

Ditanya mengenai harapan, beliau mengharapkan semoga anaknya berjaya dan memperolehi apa yang dicita-citakan selama ini demi masa depan mereka sendiri.

pelajar antarabangsa DSC0720
Muhammad Taufiq Sideq (kiri)

pelajar antarabangsa DSC0723
Ooi Thian Pien (kanan)

Turut berkongsi kegembiraan untuk meneruskan pengajian di Kampus Kejuruteraan USM iaitu Muhammad Taufiq Sideq, 19 dari Kok Lanas, Ketereh, Kota Baharu, Kelantan yang mengambil jurusan Elektrik dan Ooi Thian Pien, 20 berasal dari Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, Perak yang mengambil jurusan Mekanikal.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin