Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MAJLIS SAMBUTAN KEMERDEKAAN DISAMBUT MERIAH DALAM MINGGU SISWA LESTARI SIDANG AKADEMIK 2016/2017

Merdeka DSC1259

NIBONG TEBAL, 31 Ogos 2016 – Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), disambut meriah dalam minggu siswa lestari sidang akademik 2016/2017 di sini pagi ini.

Majlis dimulakan dengan senaman merdeka dipimpin oleh anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), USM dan disertai oleh lebih 550 peserta dalam kalangan pelajar baharu dan staf bertempat di padang bola sepak, Kompleks Sukan, Kampus Kejuruteraan.

Merdeka DSC1186

Pengerusi Rancangan PALAPES USM, Mejar Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim yang juga Penggawa, Desasiswa Lembaran berkata, semua pelajar perlu untuk mengekalkan dan memperbaharui keazaman serta semangat kesetiaan kepada tanahair yang tercinta.

Merdeka DSC1303

Beliau yang mewakili Penolong Naib Canselor/Pengarah, Kampus Kejuruteraan turut menyeru para pelajar supaya sentiasa meningkatkan jati diri, semangat kemerdekaan dan semangat sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya.

“Kita semua tahu bahawa betapa sukarnya untuk kita memperolehi kemerdekaan tetapi lebih sukar adalah untuk kita mengekalkannya”, kata Hazizan.

Merdeka DSC1218

Katanya lagi, dalam kita menyambut hari kemerdekaan ke 59 ini, mungkin ramai yang tidak sempat mengalami atau merasai kepahitan zaman penjajahan mahupun zaman komunis di sebahagian tempat dalam negara sebelum berlakunya perjanjian damai pada tahun 1989.

“Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru saudara saudari pada hari kemudian dapat menyumbang bakti kepada negara malahan dapat memastikan keamanan dan kenikmatan yang kita perolehi pada hari ini dapat kita kekalkan untuk generasi akan datang”, tegasnya lagi.

Merdeka DSC1156

Program turut diserikan dengan pantomin kemerdekaan dan diikuti dengan deklamasi sajak kemerdekaan oleh pelajar-pelajar baharu.

Kompleks Sukan, Kampus Kejuruteraan pada pagi itu turut bergema dengan lagu Negaraku, lagu Pulau Pinang dan lagu USM diiringi upacara membawa masuk dan menaikkan Jalur Gemilang.

Merdeka DSC1174

Majlis penutup Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 peringkat Kampus Kejuruteraan, USM itu berakhir dengan upacara lafaz Rukun Negara dan laungan merdeka serta formasi USM yang begitu menarik dilakukan oleh peserta dengan bantuan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan PALAPES.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin