Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DR. FATEHAH DIPILIH SEBAGAI PENERIMA ANUGERAH L'OREAL-UNESCO

Fatehah DSC0031

NIBONG TEBAL, 19 September 2016 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Fatehah Mohd Omar dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah L'Oréal-UNESCO untuk Wanita di Anugerah Sains melalui penyelidikan beliau bertajuk “The Importance of Determining Zeta Potential and Hydrodynamic Diameter to Characterize Suspended Solids in Palm Oil Mill Effluent (POME)” baru-baru ini.

Beliau yang ditemui menzahirkan rasa bersyukur dan teruja kerana tersenarai antara penerima anugerah yang diberikan kepada penyelidik atau saintis wanita di Malaysia yang berumur 40 tahun ke bawah dan memegang Ph.D atau sedang menjalankan kajian dalam pelbagai bidang sains.

Fatehah DSC0096“Kali pertama saya membaca tentang anugerah ini, 6 tahun yang lalu dan sejak dari hari itu saya telah menanam hasrat untuk mencuba dengan mengambil langkah bekerja keras untuk mencapainya”, katanya.

Tambahnya lagi, beliau berasa bangga kerana jenama kosmetik bertaraf dunia seperti L'Oreal mengiktiraf bakat, usaha dan sumbangan yang dibuat oleh kaum wanita yang bersungguh-sungguh dalam memberikan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara serta cinta kepada sains dan penyelidikan.

“Ia benar-benar satu penghormatan kepada saya juga kepada penerima yang lain terutama kepada ibu-ibu yang perlu membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya”, kata Fatehah.

Ditanya mengenai aspirasi, beliau menjawab bahawa kedua ibu bapa iaitu Profesor Dr. Ir. Mohd Omar Ab Kadir dan Profesor Dr. Nik Norulaini Nik Ab Rahman yang merupakan saintis dan masing-masing daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia menjadi pendorong kepada kejayaannya sekarang.

Menurut anak sulung dari empat beradik itu berkata, projek penyelidikan yang membawa beliau kepada anugerah tersebut adalah berkisarkan kepada rawatan bekalan air bersih yang menjadi semakin sukar diperolehi di Malaysia dan kebanyakannya disebabkan oleh pencemaran.

Jelasnya, penyelidikan yang dibuat bukan sahaja penting untuk merawat dari sumber untuk kegunaan manusia tetapi juga bertanggungjawab melepaskan air terawat selepas penggunaan.

“Kajian saya mensasarkan untuk membantu pihak industri yang memproses bahan kimia dengan penggunaan air yang banyak dan kemudiannya melepaskan semula kepada alam sekitar selepas selesai proses pembuatan yang mereka lakukan”, tambahnya lagi.  

Fatehah DSC0077

“Saya berharap usaha ini akan dapat menyumbang dalam menyediakan dan mengekalkan persekitaran bekalan air bersih untuk ekosistem dan akhirnya untuk persekitaran hidup manusia yang lebih terjamin”, katanya.

Anugerah tersebut telah melayakkan beliau menerima geran penyelidikan daripada pihak ‘L'Oreal-UNESCO bernilai RM30,000.

Turut  menerima anugerah sama iaitu Pensyarah, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia, Dr. Nethia Mohana yang melakukan penyelidikan dalam bidang pencegahan penyakit kanser.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin