Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PELUANG KERJASAMA USM - CMU

CMU DSC2193

NIBONG TEBAL, 29 September 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Chiang Mai University (CMU), Thailand sepakat jalin kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan bagi meningkatkan kecemerlangan institusi serta hubungan baik kedua-dua buah negara.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berkata, USM sudah lama menjalinkan hubungan rapat dengan institusi pendidikan tinggi Thailand melalui jaringan akademik dan penyelidikan antaranya dengan Prince of Songkla Universiti (PSU).

CMU DSC2325
Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin ( no. 6 dari sebelah kiri)

Beliau yang mewakili Penolong Naib Canselor/Pengarah, Kampus Kejuruteraan mengalukan delegasi dari negara jiran seramai enam orang yang terdiri daripada pensyarah bidang kejuruteraan dalam lawatan pertama mereka di sini semalam.

“Banyak persamaan yang wujud antara USM dan CMU hasil daripada lawatan serta perbincangan pada hari ini”, kata Zainal.

CMU DSC2208

“Saya percaya, kita boleh meneroka kerjasama yang lebih banyak pada masa hadapan dengan potensi besar yang ada, bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan malah bidang lain juga”, tambahnya lagi.

Ketua delegasi Chiang Mai University (CMU), Prof. Madya Dr. Juggapong Natwichai berkata, USM mempunyai kekuatannya tersendiri terutamanya dalam bidang kejuruteraan.

CMU DSC2215

“Saya lihat hasil daripada lawatan ini banyak persamaan antara USM dan CMU yang boleh memberi laluan kerjasama bukan sahaja dalam pemindahan ilmu malah juga dalam pertukaran pelajar, pertukaran staf dan penyelidik bersama”, katanya.

“Sebagai langkah pertama, kami akan bawa perkara ini ke peringkat atasan universiti supaya ia dapat diteruskan dalam bentuk perlaksanaan”, jelasnya.

CMU DSC2223

Tambahnya, lawatan ini dapat memberi pendedahan kepada mereka yang baru sahaja ingin menawarkan pengajian dalam bidang kejuruteraan Aeroangkasa.

Dalam hubungan itu, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Ir. Dr. Mohd zulkifly Abdullah dan Timbalan Dekan, Siswazah dan Penyelidikan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Farzad Ismail turut bersedia memberi khidmat nasihat dalam hal-hal berkaitan untuk membangunkan kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti tersebut.

CMU DSC2244

Antara persetujuan awal, kedua-dua institusi bersetuju untuk mempromosi dan membangunkan kerjasama akademik seperti pertukaran kakitangan, mahasiswa dan pelajar siswazah, pembangunan staf, profesor kunjungan, pelaksanaan projek-projek penyelidikan bersama, penyediaan kuliah dan seminar, pertukaran data atau bahan-bahan penyelidikan dan maklumat akademik serta projek-projek lain yang memberi manfaat bersama.

CMU DSC2281

Delegasi turut dibawa melawat ke makmal-makmal penyelidikan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa termasuk Makmal Terowong Angin di Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin