Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

WORLD CAFÉ- PIMPIN SISWA LESTARI DI KAMPUS KEJURUTERAAN LANCAR

World Cafe DSC2380

NIBONG TEBAL, 2 Oktober 2016 – Modul World Café untuk Program PIMPIN Siswa Lestari 1, Sidang Akademik 2016/2017 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 30 September 2016 yang lalu berjalan lancar.

World Cafe DSC2383Penggawa Desasiswa Lembaran, Mejar Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim yang juga pensyarah, Pusat Pengajian Kejuruteran Bahan dan Sumber Mineral berkata, modul World Café itu bukan sahaja diguna pakai di USM malah telah diperluaskan ke universiti awam lain dalam negara.

Modul Pimpin Siswa Lestari Siri Pertama ini, merupakan modul yang wajib dihadiri oleh semua pelajar baharu tahun pertama Universiti Sains Malaysia.

“Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh warga kampus yang terlibat sepanjang program berlangsung”, katanya ketika menyampaikan ucapan majlis penutup program di sini hari ini.

Jelasnya, terdapat peringkat kedua hingga peringkat keempat yang lebih mencabar dalam modul pimpin siswa lestari ditawarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk mahasiswa USM.

World Cafe DSC2344

Menurutnya lagi, pelajar yang berminat boleh memohon untuk menjalani program tersebut dan sebahagian peserta akan dipilih berdasarkan kepada kriteria dan merit yang telah ditetapkan.

“Saya yakin, jika semua pelajar menghayati dan fokus menjalani program ini, ia akan memberi manfaat yang baik kepada setiap individu dan universiti umumnya”, tambahnya.

World Cafe DSC2365

“Saya harapkan ini bukanlah pimpin siswa pertama dan terakhir yang anda akan lalui” katanya lagi.

Katanya, semua program yang disertai pelajar akan direkodkan dan sekiranya pelajar dapat mengumpul MyCSD yang mencukupi, mereka akan dianugerahkan dengan sijil APEX pada tahun akhir yang dapat membantu dalam meneruskan kerjaya masing-masing serta bersaing dalam suasana pekerjaan sebenar.

World Cafe DSC2347

Pelajar tahun satu ini, dibahagikan kepada enam kumpulan besar yang dinamakan sebagai benua Eropah, Afrika, Asia, Australia, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Setiap kumpulan perlu membincangkan isu dan penyelesaian kepada setiap isu yang dibangkitkan untuk dijadikan sebagai projek kumpulan.

Semua projek dari ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan termasuk kampus di Belgaum, India pada akhirnya akan dinilai oleh jawatankuasa dan sebanyak 10 projek akan dipilih serta diberi dana untuk dilaksanakan.  

World Cafe DSC2395

Kira-kira 510 pelajar baharu terlibat sebagai peserta dengan bimbingan oleh 36 orang fasilitator dalam kalangan pelajar dan 16 orang staf berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan kelancaran Program Pimpin Siswa Lestari 1 peringkat Kampus Kejuruteraan pada tahun ini.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin