Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROFESOR DATUK DR. ASMA TEKAD PACU KECEMERLANGAN ‘CARA USM’

Prof Asma IMG 0347

PULAU PINANG, 7 Oktober 2016 – Aspirasinya cukup tinggi, ingin memimpin satu organisasi yang dapat menggerakkan revolusi yang mana pengajian tinggi memainkan peranannya memacu pembangunan negara melalui pembentukan generasi masa hadapan yang bercirikan value-based learned, value-driven talents, bukan sekadar bersandarkan kepada kemampuan akademik semata-mata.

Naib Canselor (NC) baharu Universiti Sains Malaysia (USM) yang mula menjalankan tugas secara rasmi memimpin warga USM pada 4 Oktober lalu, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail bertekad mahu mengemudi USM melalui strategi-strategi yang telah dirangka dan selari dengan hasrat yang ingin dicapai oleh kerajaan melalu cetak biru pendidikan tinggi iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [PPPM (PT)].

Penghijrahannya selama lebih kurang lima tahun, dilantik menjadi NC Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2012 dan kemudiannya menjadi Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi telah membuka satu dimensi baru untuk beliau melihat dengan lebih jelas senario pendidikan tinggi dalam konteks lebih luas dan mengajarnya tentang kombinasi ilmu pengetahuan dengan karakter serta ilmu pengetahuan dengan nilai-nilai universal.

“Saya gembira diberi peluang ini dan akan meneraju USM dengan mengukuhkan nilai-nilai fundamental yang selari dengan agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX). Kita akan melaksanakannya melalui strategi know-how dan ia juga akan dipastikan bergerak seiringan dengan PPPM (PT) supaya usaha yang dijalankan mencapai objektif secara menyeluruh dan mengikut hasrat dan keperluan yang diinginkan oleh kerajaan.

“PPPM (PT) diwujudkan hanya sebagai satu kerangka untuk institusi pengajian tinggi bergerak, namun setiap universiti diberi kebebasan mengikut inovasi dan kreativiti untuk merekabentuk formula masing-masing bagi memacu kecemerlangan dan berdaya saing secara global,” katanya.

Tambah beliau, perancangan operasi USM telah diteliti dan kali ini yang pasti, kecemerlangan akan dipacu dengan cara USM yang unik. Beliau akan memastikan keseluruhan organisasi bergerak sebagai satu entiti dan tahu arah tuju yang ingin dicapai atau dalam erti kata lain mengaplikasikan kaedah memimpin berdasarkan konsep purpose-driven organisation.

“Arah tuju yang jelas ini penting dalam usaha USM menjadi sebuah universiti role model yang dapat merencanakan kecemerlangannya mengikut aspirasi kerajaan terhadap pendidikan tinggi namun dengan cara USM. Cara USM yang dimaksudkan adalah menggerakkan agenda APEX yang sememangnya telah pun selari dengan teras PPPM (PT) khususnya dalam membudayakan learned, value-based talent.

“Hal ini pada akhirnya akan membolehkan universiti membariskan warganya khususnya ketua-ketua jabatan yang mempunyai akauntabiliti untuk merangka tindakan yang ingin mereka laksanakan melalui satu motivasi hakiki untuk menggerakkan Universiti. Ini kemudiannya akan diikuti dengan passion dan kehendak untuk menggerakkan agenda kecemerlangan. Justeru yang ingin tekankan di sini matlamat kecemerlangan kini direkabentuk melalui kaedah terancang (planned), bukan secara peluang (not by chance).

“USM mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk cemerlang dan Universiti ini tidak pernah terputus dari dibarisi oleh pemimpin yang unggul yang mana hanya menunggu peluang untuk menyerlahkan potensi mereka untuk membawa universiti ke tahap tertinggi. USM bukan sekadar mahu menjadi nombor satu dalam negara sebaliknya diiktiraf dan disegani dalam senario global,” ujar beliau.
 
Prof Asma IMG 0277

KOMITED JAYAKAN PEMBELAJARAN SECARA FLEKSIBEL

Ditanya pandangannya mengenai pembaharuan yang ingin dibuat, beliau dengan yakin menegaskan USM perlu menggerakkan program akademik yang inovatif baik di peringkat ijazah pertama mahupun pasca siswazah.

“Negara sedang beralih daripada pembelajaran secara konvensional kepada pendidikan fleksibel dan USM mempunyai pelbagai idea kreatif ke arah menjayakan aspirasi ini. Kita sedang berhadapan dengan generasi Z yang mana golongan ini mempunyai cara baharu dan tersendiri untuk belajar dan cara baharu mereka ingin proses pengajaran dan pembelajaran itu dilaksanakan.

“Justeru Universiti harus menyahut cabaran ini untuk memastikan kita dapat memenuhi kehendak generasi millenia ini. Pendidikan fleksibel adalah antara langkah yang telah pun diperkenalkan dan perlu diperkasakan. Generasi ini sudah tidak mahu lagi dengan amalan biasa masuk ke dewan kuliah dan mendengar kuliah. Mereka mahukan interaksi dan kaedah teradun yang membolehkan penjanaan pemikiran kritis dan pemikiran analisis, yang pada akhirnya boleh diaplikasikan untuk menyelesaikan masalah dalam dunia sebenar,” ujar beliau.

Justeru katanya, kerangka sedia dalam pendidikan fleksibel termasuk program 2U2I (dua tahun di universiti dan dua tahun di industri), ijazah fleksibel, ijazah berkembar, dwi-ijazah, pembelajaran teradun, Massive Open Online Courses (MOOCS) dan sebagainya akan digerakkan dengan sebaik mungkin untuk menyerlahkan kemampuan pelajar secara optimum dan mampu melangkah keluar dari Universiti dengan jati diri yang kukuh dan berupaya menjadi job creator, bukan sekadar job seeker.

“Kita sedia maklum pelajar masa kini mempunyai kemampuan akademik yang luar biasa namun di pihak industri, pandangan yang disuarakan menyentuh kepada kemampuan mereka menjadi pemikir dan penyelesai masalah. Oleh kerana itu program seperti 2U2I penting bagi memastikan pelajar tahu situasi sebenar dan kepentingan berfikir secara kritis. Tempoh latihan industri selama tiga hingga enam bulan kini sudah tidak relevan kerana pelajar perlu tahu apa yang industri mahukan dan harapkan dari mereka,” katanya.
 
Prof Asma12

LIHAT ISU GENDER SECARA LEBIH SERIUS

Ketegasan wanita yang berasal dari Jitra, Kedah ini cukup menyerlah ketika diajukan pertanyaan mengenai komennya mencipta nama menjadi NC ketujuh dan wanita pertama USM.

“Saya lebih gemar dilihat berdasarkan merit, kebolehan dan kemampuan saya untuk menguruskan organisasi berbanding isu gender. Menjadi wanita pertama adalah satu bonus namun saya adalah jenis wanita yang menjalankan tugas mengikut merit.

“Justeru, secara tidak langsung keberadaan saya di USM adalah untuk memastikan wujud kesamarataan dan sensitiviti gender dalam kampus. Data yang dihasilkan dalam kampus perlu mempunyai pecahan kepada lelaki dan wanita kerana kadangkala data disediakan tidak melihat kepada perkara tersebut. Ia memberi kesan khususnya ketika ingin membuat keputusan. Paling tidak sebagai permulaan apabila ada data berkaitan USM kita mempunyai pecahan lelaki dan wanita untuk membolehkan proses membuat keputusan menjadi lebih baik dan menyeluruh mengikut konsep informed decision-based dan evidence-based,” jelasnya.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat lebih ramai saintis wanita tampil untuk menyerlahkan potensi masing-masing dan Universiti akan membantu seadanya kerana bagi wanita yang terkenal dengan hasil penyelidikan yang telah dikomersialkan melalui geran lebih RM19 juta ini, setiap perkara ada jalan untuk rundingan.

Asma yang memperoleh ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Selular dan Molekular Biologi dari Universiti of Nevada, Amerika Syarikat memulakan kariernya sebagai pensyarah dalam bidang Mikrobiologi Perubatan di USM pada tahun 1986. Bidang kepakarannya adalah dalam Mikrobiologi Perubatan, Mikrobiologi Klinikal dan Bioteknologi Perubatan.
 
Prof Asma3

JADIKAN RANKING SEBAGAI INDIKATOR

Asma turut mempunyai pandangan yang jelas berkenaan isu ranking namun permainan global itu tidak dilihat secara taksub sehingga perlu menggadaikan etika dan integriti dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang diinginkan. Katanya, ranking telah lama wujud dan Universiti tidak boleh lari darinya. Ranking perlu diambil secara positif sebagai indikator untuk Universiti melihat sama ada fundamentalnya berada di landasan yang betul atau sebaliknya.

“Jika ada mana-mana bahagian yang lemah kita perbaiki. Ada sesetengah perkara dalam ranking yang kita tidak menyerlah pun namun ada juga yang cemerlang. Justeru kita perlu cari jalan pintar untuk memacu kecemerlangan, bukan taksub kepada ranking. Kita perlu memastikan ranking itu sendiri selari dengan fundamental Universiti, bukan fundamental Universiti yang perlu berubah kerana ranking.

“Fundamental Universiti termasuk meletakkan integriti dan etika dalam penyelidikan, memastikan penerbitan kita tidak tergolong dalam plagiarisme, menghasilkan penyelidikan secara profesional serta berkualiti dan sebagainya. Semua hal ini penting kerana dalam keghairahan kita mengejar ranking dan mencapai KPI khususnya dalam penerbitan, ada di antara akademia yang sanggup melakukan perkara yang tidak beretika dalam penyelidikan,” jelasnya.

Asma yang mempraktikkan konsep evidence-based management akan mentadbir Universiti dengan cara yang tersendiri. Tambahnya, bidang yang menunjukkan potensi untuk terbang lebih tinggi akan diperkasakan kepada tahap seterusnya dan sudah tentunya akan dilonjakkan ke tahap par excellence. Bagi yang telah cemerlang dan mendahului, Universiti akan memastikannya terus terbang ke peringkat platinum. Dalam situasi USM, dua bidang nic yang sudah pasti akan diperkasakan dengan lebih cemerlang adalah Sains Persekitaran dan Kejuruteraan Kimia.

Beliau turut menegaskan, USM dan empat lagi universiti penyelidikan perlu terus menunjukkan prestasi cemerlang yang luar biasa dan menjadi pendahulu untuk terus menarik lebih ramai pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi menuntut ilmu, sekaligus membanggakan negara.

Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa