Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ANUGERAH UEM 2016 MILIK MUHAMMAD KASHFY

UEM 0090

KUALA LUMPUR, 23 November 2016 – Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM pada tahun ini milik pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Muhammad Kashfy Zainalfikry, 23, yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi UEM Group Berhad, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dalam majlis ringkas di The Odyssey, Mercu UEM, Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Berbekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71 dengan projek bertajuk "A Study On Hexagonal Modular Cell as Channel Bed for Open Channel", Kashfy berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 beserta sijil.

“Secara jujur, saya tidak menyangka bahawa saya merupakan penerima anugerah ini kerana ramai lagi calon yang bukan sahaja lebih layak malah hebat dalam bidang yang mereka ceburi”, katanya yang kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Hydroinformatic di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) melalui Fast Track PhD Programme.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, tiada tips rahsia untuk berjaya kecuali memasang niat yang betul dan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran akan membawa keputusan positif.

“Dengan niat yang betul, pastinya kesungguhan akan hadir dalam jiwa seorang pelajar kerana sedar bahawa kesungguhan, keletihan menuntut ilmu itulah yang dinilai oleh Allah SWT dan diberi ganjaran pahala yang tidak ternilai manakala gred A hanyalah bonus sampingan”, katanya.

UEM DSCN0107

Tambahnya lagi, selain niat dan kesungguhan, kejayaan akademik turut memerlukan perancangan yang teratur daripada pelajar itu sendiri dan merupakan salah satu perkara penting bagi sesoarang pelajar untuk menyediakan jadual harian sendiri selain daripada jadual belajar kelas.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau ingin mengasah setajam-tajam bakatnya dalam bidang penyelidikan selain turut melibatkan industri luar bagi membentuk hubungan positif antara kajian universiti dan situasi semasa industri.

Jelasnya, kejayaan tersebut adalah hasil tunjuk ajar penyelia projek tahun akhir iaitu Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dan Profesor Dr. Ismail Abustan.

“Penglibatan saya dalam anugerah ini juga adalah dorongan daripada Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Taksiah Abdul Majid serta pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang lain”, tambahnya lagi.

Dikesempatan itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang juga merupakan Penolong Naib Canselor/Pengarah, Kampus Kejuruteraan iaitu Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan semua pihak diatas peluang dan kepercayaan yang diberikan.

UEM 0051Sementera itu, Penyelia Projek, Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol ditemui dalam majlis sama turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan buat kali kedua pelajar projek tahun akhir beliau terpilih selepas Azura Abd Rahman menerimanya pada tahun 2014.

Katanya, tiada rahsia yang digunakan dalam pencapaian kedua-dua pelajarnya selain daripada hasil usaha pelajar itu sendiri.

“Mereka sendiri sudah berpotensi besar untuk berjaya dan saya cuma memberi panduan sebagai seorang penyelia”, katanya.

Menurut pensyarah muda yang juga alumni USM itu berkata, kejayaan seseorang pelajar harus lahir daripada kemahuan mereka sendiri dan minat yang mendalam dalam sesuatu pekerjaan yang diceburi.

“Bagi saya, sekiranya sesuatu perkara dilakukan tanpa minat dan dibuat kerana dipaksa, pasti hasilnya tidak akan memuaskan hati”,

“Signifikannya projek tahun akhir ini untuk UEM amat besar iaitu UEM boleh mengaplikasikan penggunaan longkang yang bukannya satu fungsi malahan ia mesra alam, kos lebih murah serta dapat mencegah daripada berlakunya hakisan bukan sahaja di longkang-longkang malah boleh juga diaplikasikan di tebing sungai”, jelas Mohd Remy.

“Saya sentiasa menggalakkan pelajar-pelajar projek tahun akhir saya bukan sahaja menceburi atau menghasilkan produk yang berinovasi, malahan saya beri galakan kepada mereka menyertai partandingan di pe
ringkat nasional dan antarabangsa bagi membina keyakinan diri dan softskill yang mereka tidak akan perolehi sewaktu di dewan kuliah”, katanya lagi.

Turut menerima anugerah sama yang mula diperkenalkan pada tahun 2013 itu ialah siswazah daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

UEM DSCN0131Sehingga kini, tiga orang telah menerima anugerah ini daripada Universiti Sains Malaysia bermula 2014 iaitu Azura Abd Rahman daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam diikuti dengan Chuah Wei Hoong daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dan pada tahun ini sekali lagi dimiliki oleh siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam iaitu Muhammad Kashfy.

Hadir sama meraikan kejayaan itu ialah Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM, Profesor Dr. Taksiah A. Majid, Pengarah Urusan Kumpulan, UEM Group Bhd, Dato’ Izzaddin Idris, Ahli Lembaga Pengarah UEM dan wakil-wakil dari universiti terblibat.

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar