Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM USM LIBATSAMA KOMUNITI BINA PERUBAHAN

 

zikra DSC5966

NIBONG TEBAL, 23 Februari 2017 – Program Universiti Sains Malaysia (USM) Libatsama Komuniti bergerak selangkah kehadapan melalui kejayaan dalam membina perubahan-perubahan baharu demi melestarikan hari esok.

Antara projek yang berjaya dilaksanakan melalui program ini adalah pembinaan Dewan Ilmu Lepai, Alor Setar dan Dewan Assyakirin, Pendang di Kedah manakala Projek Dewan Ilmu Jalung di Perkampungan Orang Asli, Kampung Landap, Sungai Siput, Perak sedang giat dijalankan.

zikra DSC5935

Libatsama komuniti oleh Pusat Islam ini berjaya mewujudkan jaringan kerjasama daripada beberapa jabatan dan pusat-pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Pusat Pengajian Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Pusat kesihatan (PK) serta Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Taksiah A. Majid mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam ucapannya berkata Kampus Kejuruteraan telah mengorak langkah demi menjayakan misi perubahan untuk melestarikan hari esok dengan mensasarkan golongan terkebawah (Bottom Billion).

“Menyediakan kualiti kehidupan yang lebih baik melalui program yang sedang dijalankan ini adalah selaras dengan visi USM iaitu Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok,” kata beliau ketika Majlis Zikra Rasul peringkat Kampus Kejuruteraan
USM di sini hari ini.
 
zikra DSC5939

“Malah, ini merupakan tanggungjawab sosial yang harus diutamakan dan kita yakin bahawa program bersama golongan terkebawah ini dapat dijadikan wadah untuk USM berkongsi sambil berkhidmat kepada masyarakat,” tambah Taksiah yang baharu sahaja diberi kepercayaan menerajui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam menggantikan Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa.  

Majlis yang menampilkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai penceramah jemputan ini turut dihadiri oleh wakil dari jabatan-jabatan luar seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Hospital Parit Buntar.

zikra DSC5927

Sementera itu, Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya, turut menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program-program anjuran Pusat Islam USM.

“Adalah menjadi harapan saya supaya segala perancangan yang disusun akan berjalan dengan lancar dan seterusnya memacu USM untuk lebih bersinar di Persada Global nanti,” katanya.

Lebih kurang 300 warga Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) yang terdiri dalam kalangan staf dan pelajar hadir ke majlis yang di adakan di Auditorium Kampus Kejuruteraan itu.

Di majlis yang sama, Profesor Dr. Taksiah turut melancarkan Projek I-Infaq Pembinaan Dewan Ilmu Jalong dan program-program lain bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah.

zikra DSC5993

Turut hadir, Pengerusi, Program Maalhijrah dan Maulidur Rasul 1438H, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Mohd Noor, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Dr. Zuhailawati Hussein, Timbalan Pengarah, Pusat Islam USM, Md Yusof Abdul Rahim dan Timbalan Pendaftar,  Kampus Kejuruteraan,  Rohilatifah Harun.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Faisal Mohamad